KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bergotong-royong membersihkan rumah-rumah mangsa banjir di Taman Pelangkah, Pekan hari ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang, baginda disertai sukarelawan melibatkan pelbagai agensi termasuk pegawai dan kakitangan Majlis Kesultanan Pahang (MKP) memulakan kerja-kerja pembersihan pada pukul 10.00 pagi.
“Jaga kesihatan, jaga anak-anak dan keluarga dengan baik. Saya harap banyak-banyak bersabar dengan dugaan ini,” titah baginda ketika menyantuni mangsa banjir di situ.
Selain bertanya khabar, Al-Sultan Abdullah turut menyampaikan kurniaan kepada penduduk yang tidak bernasib baik agar dapat meringankan beban mereka.
Keberangkatan baginda ke Taman Pelangkah, Pekan bagaikan sinar buat mereka yang dirundung duka akibat musibat tersebut yang saban tahun melanda setiap kali musim tengkujuh.
Berdasarkan maklumat InfoBencanaJKM, daerah Pekan masih merekodkan seramai 45 mangsa banjir melibatkan 21 buah keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Haji Ahmad Shah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Manis. – MalaysiaGazette
















