Mohd Kamil Ibrahim.

KUANTAN – Kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini disifatkan keterlaluan dan biadap.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, tindakan Bee Yin dan beberapa pemimpin DAP yang bertindak biadap sebelum ini tidak seharusnya dibiarkan.

“Sudah berapa kali pemimpin biaDAP tunjuk perangai anjing menyalak bukit kurang ajar.

“Cukuplah kali ini bagi muka. Tunjukkan mereka jalan keluar,” tegasnya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Mohd Kamil berkata demikian mengulas kenyataan dimuatnaik Ahli Parlimen Puchong itu menerusi Facebook memuat naik status “Antara yang perlu diraikan menjelang hujung tahun” sambil memuat naik keputusan Mahkamah Tinggi terhadap penolakan semakan kehakiman yang dibuat Najib hari ini.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Susulan keputusan itu, Najib diperintahkan untuk menjalani baki hukumannya di Penjara Kajang seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Najib Razak adalah maruah UMNO yang perlu kita pertahankan.

“Keputusan mahkamah hari ini telah mencemar institusi diraja dan YDPA ketika itu adalah Sultan Pahang kita sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast