Dr Zuhan Zain.

JOHOR BAHRU – Pas didakwa memainkan isu Titah Adendum  Datuk Seri Najib Razak sebagai cubaan terancang mengalih perhatian selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mahu menarik sokongan terhadap Menteri Besarnya.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain berkata, Pas ketika ini memanipulasi isu tersebut bertujuan mengaburi kegagalan dan ketidaktentuan pentadbiran kerajaan Perlis di bawah Perikatan Nasional (PN).

“Amanah Johor melihat isu rayuan Najib sengaja dijadikan bahan politik dan tajuk utama bagi menutup hakikat bahawa kerajaan negeri Perlis sedang berdepan keruntuhan kepercayaan, kelemahan pentadbiran serta ketidaksefahaman dalaman yang semakin ketara.

“Sejak awal lagi, Amanah Johor telah menjangkakan bahawa kerajaan negeri Perlis di bawah PN tidak akan mampu bertahan secara stabil.

“Ini memandangkan wujud pelbagai petanda awal berkaitan kegagalan tadbir urus, pertelagahan dalaman dan kerapuhan kepimpinan,” katanya dalam kenyataan.

Lebih membimbangkan, Zuhan berkata, kerosakan dan kepincangan pentadbiran iti dipercayai berlaku dalam Pas sendiri melibatkan perebutan kuasa, perbezaan hala tuju dan ketidakmampuan menyelesaikan konflik dalaman secara matang

Situasi tersebut akhirnya memberi kesan langsung kepada kestabilan kerajaan negeri dan kebajikan rakyat Perlis.

Dakwanya, keadaan yang berlaku di Perlis juga membuktikan PN adalah sebuah gabungan yang terlalu rapuh, tidak kukuh daripada segi kesepaduan serta gagal mengurus perbezaan dalaman dengan berhemah.

“Amanah Johor menegaskan apa yang sedang berlaku ini jelas menunjukkan PN tidak benar-benar fokus membantu rakyat,” ujar Ketua Pas Kawasan Kluang itu.

Sebaliknya kata beliau, Pas lebih sibuk mencatur kuasa, mempertahankan kepentingan politik sempit dan berpolitik tanpa henti walaupun rakyat memerlukan penyelesaian masalah kehidupan seharian.

Semalam, kedudukan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis dikatakan goyah selepas beberapa ADUN didakwa menarik sokongan terhadap beliau.

Berdasarkan maklumat, sekurang-kurangnya lapan daripada 14 ADUN PN setakat ini dikatakan sudah menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Mohd Shukri, sekali gus mencetus spekulasi kemungkinan berlaku pertukaran Menteri Besar dalam masa terdekat di Perlis.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast