Tangkap layar video yang tular memaparkan kemalangan bas dan lori di Jalan Skudai, Pantai Lido, Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU – Tiga penumpang cedera selepas bas henti-henti dinaiki melanggar sebuah lori yang berhenti di tepi jalan dalam kejadian tular di kilometer 3.5 Jalan Skudai, Pantai Lido arah pusat bandar di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pukul 3.30 petang dan pihaknya maklum kemalangan tersebut melalui Facebook semalam.

“Kejadian berlaku apabila seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun memandu sebuah bas bersama-sama penumpang dalam perjalanan dari arah Skudai ke pusat bandar.

“Semasa sampai di lokasi kejadian, pemandu bas tersebut tidak nampak sebuah lori diletakkan di tepi jalan tanpa pemandu lalu melanggar belakang kanan lori tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Raub berkata, akibat kemalangan tersebut menyebabkan lori berpusing naik ke atas bahu jalan sebelah kiri jalan.

Pemandu basĀ  tidak mengalami kecederaan manakala tiga penumpang bas iaitu seorang wanita serta dua lelaki yang berusia 45, 63 dan 73 tahun cedera ringan.

Raub memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan meminta orang ramai yang mengetahui mempunyai maklumat kes itu untuk menyalurkan maklumat.

Tambahnya, mereka boleh menghubungi Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dengan menghubungi Inspektor Hafiz Jaafar Mad Ariff 014-7159957 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast