Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Tinggi berhubung Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyerlahkan kegagalan Kerajaan Madani  menjunjung tinggi Titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, keputusan tersebut turut menggambarkan kealpaan dan kesilapan serius Kerajaan Persekutuan dalam menguruskan titah berkenaan supaya melalui prosedur perundangan yang betul.

Menurut beliau, asas utama isu berkenaan adalah soal menjunjung tinggi Titah Adendum YDPA serta prinsip integriti dan keterbukaan kerajaan, dan bukan berkaitan sama ada Najib bersalah atau tidak seperti didakwa sesetengah pihak.

“Isu ini sama sekali tidak menyentuh mengenai sama ada Datuk Seri Najib Razak bersalah ataupun tidak seperti yang didakwa sesetengah pihak,” katanya dalam kenyataan.

Afnan berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu turut membangkitkan persoalan mengenai tahap integriti Peguam Negara yang didakwa menyembunyikan Titah berkenaan, walaupun kewujudannya telah diakui sendiri dalam perbicaraan di peringkat Mahkamah Persekutuan sebelum ini.

“Persoalannya mengapa ia seolah-olah sengaja disorokkan serta tidak dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang berlangsung ketika itu?” soalnya.

Beliau menegaskan, isu tersebut adalah masalah integriti yang serius, lebih-lebih lagi apabila Kerajaan Madani sebelum ini sekadar menepis kewujudan Titah Adendum itu sebagai satu hearsay.

“Meski kita berbeza pandangan dari sudut kesalahan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Razak namun dalam masa yang sama kita tidak boleh menganggap remeh Titah YDPA,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik hantaran media sosial Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin sejurus keputusan Mahkamah Tinggi yang menurutnya mencetuskan spekulasi serta ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat.

“Bagaimana perkara sebesar ini sekadar menjadi bahan gurauan politik Ahli Parlimen DAP? Mengapa Ahli Parlimen DAP tidak sensitif dengan isu-isu sebegini atau mereka gagal menilai dengan tepat kegagalan Kerajaan yang dipimpin mereka sendiri di sebalik penghakiman tersebut?” soal Afnan.

Beberapa pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) terutama dalam kalangan UMNO juga menegur Bee Yin.

Ia selepas Setiausaha Publisiti DAP itu memuatnaik hantaran ‘Another reason to celebrate this year end (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini)’ bersama pautan berita sebuah portal bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).

Hantaran itu dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching pagi tadi memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Antara yang menegur tindakan Bee Yin adalah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh turut berang dengan kenyataan Bee Yin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast