Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Sebarang usaha atau percubaan untuk menempatkan kuasa serta budi bicara pengampunan Diraja di bawah kawalan kehakiman atau birokrasi berpotensi besar menceroboh ketetapan Perlembagaan Persekutuan, kata Pas.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah berikutan Titah Addendum Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 semalam.

“Pas percaya apa-apa keputusan, arahan atau petunjuk yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasa budi bicaranya di bawah peruntukan tadi adalah jelas berada dalam kerangka Perlembagaan.

“Justeru sesuatu kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi, pendedahan yang bertangguh atau pengakuan yang berpilih-pilih tidak boleh sama sekali digunakan untuk meneutralkan, menangguhkan atau mempersoalkan kesahihan tindakan Diraja,” kata Takiyuddin dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.

Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Sehubungan itu, Yee Ching memutuskan Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.

Dalam kenyataan sama, Takiyuddin berkata, Pas akur keputusan badan kehakiman hendaklah sentiasa dihormati sebagai antara tonggak utama kedaulatan undang-undang negara.

Namun, katanya, penghormatan itu tidak boleh sehingga menafikan hak kebebasan bersuara dan memberi pendapat yang dijamin Perlembagaan khususnya apabila keputusan mahkamah dilihat berpotensi melemahkan, mentafsir semula atau mengetepikan kuasa yang diperuntukkan secara jelas dan eksklusif kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

“Ia adalah kuasa eksekutif yang dijalankan melalui Lembaga Pengampunan dan tidak tertakluk kepada persetujuan kehakiman, sokongan pentadbiran atau penerimaan politik,” kata Takiyuddin.

Pas turut berpandangan apa-apa keputusan, arahan atau petunjuk Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan kuasa budi bicaranya adalah jelas berada dalam kerangka Perlembagaan dan tidak boleh dineutralkan, ditangguhkan atau dipersoalkan hanya kerana kekaburan pentadbiran, kehilangan dokumentasi atau pendedahan yang bertangguh.

Menurut Takiyuddin lagi, tindakan sedemikian hanya akan menghakis dan merendahkan wibawa, kedaulatan serta kedudukan Raja-Raja seperti yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.

“Oleh itu Pas dengan tegas berpandangan isu adendum yang merupakan sebahagian keputusan langsung Yang Di-Pertuan Agong Ke-IV mestilah diterima, dilaksanakan dan diberikan kuat kuasa undang-undang secara sertamerta tanpa bantahan kehakiman atau pentadbiran seperti mana yang berlaku dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast