MELAKA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka memperkenalkan sebuah van aduan bergerak yang beroperasi 24 jam sehari bermula Januari tahun depan Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).
Pengarahnya, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin, berkata, Van STAR (Skuad Tindakan Aduan dan Resolusi Pengguna) yang juga dikenali ‘van pisang’ itu bertujuan mempercepatkan aduan khususnya melibatkan harga barang, bekalan dan penipuan perdagangan di negeri ini.
Aset terbaharu KPDN Melaka itu akan beroperasi di kawasan tumpuan pelancong serta lokasi panas aduan pengguna selaras dengan persediaan Melaka sebagai negeri pelancongan utama sempena VMY2026 tahun hadapan.
“Inisiatif tersebut membolehkan aduan disiasat dan diselesaikan dalam tempoh tidak melebihi 24 jam sekali gus meningkatkan keyakinan pengguna dan pelancong untuk berbelanja secara selamat.
“Van berhawa dingin ini berfungsi sebagai pejabat bergerak yang mana pengguna boleh terus membuat aduan di lokasi dan pasukan kami akan turun serta-merta ke premis terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2025 KPDN Melaka di sebuah pasaraya di Klebang di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Melaka Rohaimi Mohammed Zawawi.
Mengulas lanjut, Mohd Hazimin berkata, van tersebut akan berada di lapangan hampir sepanjang masa dan bergerak mengikut keperluan berdasarkan maklumat aduan yang diterima daripada orang awam.
“Pendekatan ini merupakan usaha proaktif KPDN dalam memastikan keharmonian ekonomi, terutama melibatkan sektor pelancongan dan perbelanjaan pengguna di Melaka.
“Pengguna tidak perlu risau sekiranya berdepan isu harga atau kualiti barangan kerana saluran aduan kini lebih mudah dan mesra rakyat sekali gus menjadikan kehadiran Van Star ini sebagai isyarat penguatkuasaan sentiasa berjalan,” tegasnya.
Usaha itu juga dilihat mampu mengurangkan rungutan pelancong berkaitan harga mahal atau penipuan ketika berbelanja di negeri bersejarah itu dan menjadiu langkah tepat bagi melindungi kepentingan rakyat dan pelancong. – MalaysiaGazette
















