Poster yang memaparkan karikatur Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin pada sesi penyerahan memorandum bantahan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puchong, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor menyifatkan tindakan Pemuda UMNO Selangor yang berkumpul di hadapan Pusat Khidmat Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin semalam sebagai politik murahan yang tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.

DAPSY Selangor dalam satu kenyataan berkata, budaya berhimpun beramai-ramai semata-mata untuk mencipta provokasi dan sensasi bukanlah politik matang, sebaliknya memperlihatkan kegagalan untuk berhujah secara intelektual dan berfakta.

Menurutnya, corak politik sebegitu juga selari dengan gaya kepimpinan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang dilihat lebih gemar mencetuskan gimik dan emosi awam berbanding menawarkan solusi sebenar terhadap isu rakyat.

“Jika satu komen atau kenyataan dianggap terlalu sensitif sehingga memerlukan tekanan fizikal dan demonstrasi berkumpulan, maka Pemuda UMNO Selangor wajar bermuhasabah dan melihat kembali realiti tahun 2022.

“Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan, terdapat ribuan reaksi dan posting di media sosial termasuk yang bersifat sinikal serta meraikan keputusan tersebut.

“Adakah semua individu itu juga wajar dijadikan sasaran gimik politik dan tekanan awam?” katanya menerusi laman sosial Facebook DAPSY Selangor malam tadi.

Semalam, kira-kira 100 penyokong Najib termasuk ahli Pemuda UMNO Selangor menyerahkan memorandum bantahan di hadapan pejabat Bee Yin susulan hantarannya di media sosial berhubung keputusan mahkamah Najib yang didakwa bersifat biadab, sinis dan mencetuskan provokasi politik.

Pemuda UMNO Selangor juga memberikan tempoh 24 jam kepada Bee Yin yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP untuk membuat permohonan maaf terbuka kepada Najib dan keluarganya, serta seluruh ahli UMNO.

Sementara itu, DAPSY Selangor berkata, politik tidak seharusnya digerakkan melalui intimidasi, provokasi atau demonstrasi terpilih.

Menurutnya, jika benar Pemuda UMNO Selangor mahu mempertahankan maruah politik dan institusi negara, ia perlu dilakukan melalui hujah yang matang, dasar yang jelas dan saluran demokratik yang beradab.

Dalam masa sama, ujarnya, DAPSY Selangor berdiri teguh dan menyatakan solidariti terhadap Bee Yin.

“Sebarang cubaan intimidasi politik, tekanan berkumpulan atau gimik murahan tidak akan melemahkan prinsip perjuangan kami dalam mempertahankan politik berfakta, beradab dan berteraskan kepentingan rakyat,” katanya. –  MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.