KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegaskan tidak ada sesiapa yang menghalang kegembiraan DAP termasuk Tony Pua dalam meraikan keputusan mahkamah melibatkan titah adendum Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ini kerana, kata beliau, semua pihak mengetahui motif sebenar DAP yang terlalu gembira bukan kerana isu Najib semata-mata, tetapi kerana mahkamah mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu.
Namun, ujarnya, rakyat Sabah terlebih dahulu merayakan kemenangan kerana berjaya membungkus DAP dengan 8-0 pada pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
“Sudah tentu ada sebab orang Sabah tolak DAP. Ramai sangat pendusta macam Tony Pua. Dia tuduh orang Najib sebagai “pencinta penyangak”.
“Jangan ingat DAP bersih. Perogol pun ada. Raja terowong pun ada,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Sebelum ini, Tony Pua yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP mengundang kemarahan penyokong Najib selepas menggelarkan mereka `penyokong penyangak’ kerana mengecam pihak yang meraikan keputusan mahkamah mengekalkan baki hukuman Najib di Penjara Kajang.
Malah, Tony Pua menegaskan, beliau dan DAP turut berbangga kerana memainkan peranan penting dalam pemenjaraan Najib. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Tidak Perlu Bersimpati Dengan Penyangak Seperti Itu – Tony Pua #MGFlash
















