PUTRAJAYA – Sebanyak 16,394 aduan kebajikan dan penganiayaan haiwan telah diselesaikan bagi tempoh 2021 hingga 2025 dengan penguatkuasaan kebajikan haiwan dilaksanakan secara berterusan berlandaskan peruntukan undang-undang.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam kenyataan, dakwaan peningkatan kes aniaya haiwan berpunca daripada penguatkuasaan tidak tegas adalah tidak begitu tepat.
“Jumlah aduan yang diterima ini mencerminkan tahap kesedaran serta pengetahuan yang tinggi dalam kalangan masyarakat di Malaysia mengenai saluran dan kaedah penyaluran aduan berkaitan kebajikan haiwan,” katanya hari ini.
DVS memaklumkan sebanyak 19,303 aduan diterima sepanjang tempoh berkenaan, melibatkan 16,340 aduan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772] dan 2,963 aduan bukan di bawah akta tersebut.
Berdasarkan aduan berasas, DVS berkata 43 kes berjaya disabitkan kesalahan dan didakwa di mahkamah, dengan jumlah denda RM445,400 dikenakan terhadap pesalah.
Katanya lagi, semua aduan kebajikan dan penganiayaan haiwan diterima secara rasmi melalui Sistem MyAnimalWelfare sebelum disalurkan kepada pegawai lapangan di negeri bagi tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan.
“Aduan yang melibatkan penganiayaan serius sehingga mengancam nyawa akan diambil tindakan dalam tempoh 24 jam, manakala aduan yang bersifat pengabaian akan ditangani dalam tempoh tiga hari bekerja,” ujarnya.
DVS turut menjelaskan Arahan Prosedur Tetap Kebajikan Haiwan (Aduan) telah dibangunkan sebagai rujukan standard bagi memastikan penguatkuasaan Akta Kebajikan Haiwan 2015 dapat dilaksanakan secara efisien dan berkesan.
“Sistem MyAnimalWelfare memainkan peranan penting dalam pengurusan aduan kebajikan haiwan, termasuk perekodan digital berpusat, penyaluran automatik aduan serta pemantauan status setiap kes.
“Kita juga katanya menjalinkan kerjasama berterusan dengan Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan selaras Pelan Strategik Kebajikan Haiwan Kebangsaan 2021–2030 bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan haiwan di negara ini,” jelas jabatan itu.
DVS menasihatkan orang awam supaya membuat rujukan terus kepada jabatan itu bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih berkaitan aduan kebajikan haiwan serta tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi. -MalaysiaGazette
















