KUANTAN – Seorang lelaki berusia 39 tahun terselamat selepas terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Tanjung Lumpur di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohd Salahuddin Isa mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 2.42 petang.
“Semasa pasukan bomba sampai, mangsa telah terjun daripada jambatan ke dalam sungai dan diselamatkan nelayan yang menaiki bot yang berada di lokasi. Mangsa kemudian dibawa ke tebing sungai dalam keadaan selamat.
“Pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa oleh Unit EMRS bomba sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),” katanya dalam kenyataan.
Mohd Salahuddin berkata, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sebelum itu, klip video berdurasi satu minit 20 saat memaparkan lelaki itu cuba terjun di jambatan tersebut dimuatnaik seorang pengguna di aplikasi Tiktok.
Klip video terbabit juga memaparkan beberapa individu termasuk seorang wanita cuba untuk menenangkan mangsa dan cuba menariknya sebelum akhirnya terjatuh ke dalam sungai. – MalaysiaGazette
















