KUALA LUMPUR – Ibu kepada pelajar Allahyarham Zara Qairina Mahathir antara individu terawal yang mengetahui mengenai pelantikan Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), selain peguamnya.
Berkongsi perkara itu menerusi laman sosial Facebook hari ini, Marhamah berkata, Noraidah Lamat juga sangat teruja dan sempat menasihati beliau tentang tatacara pemakaian penjawat awam.
Menurutnya, sejak awal, beliau bersama Noraidah bergerak sebagai satu pasukan dalam kes melibatkan Zara Qairina yang ditemukan meninggal dunia di sekolahnya.
“Hingga hari ini, kami masih berhubung hampir setiap hari, saling bertanya khabar dan berkongsi perkembangan, sama macam sebelum ini.
“Beliau juga orang yang paling konsisten beri saya semangat apabila dikecam dengan pelbagai tuduhan dan fitnah,” katanya.
Menurut Marhamah, walaupun beliau kini memegang amanah sebagai Timbalan Menteri Agama, namun sokongannya dalam perjuangan mendapatkan keadilan buat Zara Qairina tidak pernah berubah.
“Saya akan terus menjaga silaturrahim, memberi sokongan dan berkongsi pandangan seperti sebelum ini, cuma dengan peranan dan cara kerja yang berbeza.
“Terima kasih Mama Zara atas sokongan dan dukungan buat saya,” katanya.
Terdahulu, menurut Marhamah, beliau sempat menziarahi Noraidah di Sipitang ketika pulang ke Sabah baru-baru ini dan berbincang banyak perkara berkenaan hal hidup dan perjuangan.
Malah, katanya, Noraidah juga menghadiahkan sepasang baju kurung miliknya memandangkan mengetahui beliau tidak mempunyai baju kurung.
“Perkara kecil, tapi besar maknanya bagi saya.
“Baju ini saya terus pakai esoknya untuk lawatan, untuk mengingatkan saya tentang semangat perjuangan bersama,” katanya.
Marhamah yang sebelum ini dikenali antara aktivis yang lantang memperjuangkan keadilan buat Zara Qairina dilantik sebagai Timbalan Menteri Agama dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai dalam kejadian yang dikaitkan dengan kes buli. – MalaysiaGazette
















