Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sektor padi dan beras negara memperlihatkan reformasi dengan impak yang signifkan di bawah pentadbiran Datuk Seri Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Meksipun kadar sara diri (SSR) beras negara pernah melebihi 70 peratus, namun ia menunjukkan penurunan yang berterusan dari tahun ke tahun sehingga sekitar 58 peratus pada 2022, sekali gus , sekali gus meningkatkan kebergantungan negara kepada bekalan beras import.

Keadaan itu menimbulkan risiko yang signifikan terhadap keterjaminan makanan negara, khususnya apabila berdepan dengan ketidaktentuan pasaran global dan sekatan eksport oleh negara pengeluar.

Menyedari cabaran strategik itu, Mohamad telah menetapkan komitmen untuk melaksanakan reformasi menyeluruh dan berstruktur bagi memulihkan serta mengembalikan industri padi dan beras negara ke landasan yang mampan dan berdaya tahan.

Beberapa langkah pembaharuan utama kemudiannya diperkenalkan, antaranya menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 kepada RM500 per tan metrik yang mana kali kali terakhir harga SSHP disemak semula adalah pada 2019.

Turut dinaikkan adalah harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,500 per tan metrik (kali terakhir disemak semula pada 2014); menaikkan Insentif Pembajakan Sawah daripada RM100 kepada RM160 perhektar dan memperkenalkan Insentif Penuaian Padi sebanyak RM50 perhektar.

Selain itu, KPKM turut mendapatkan sumbangan RM90 juta daripada BERNAS yang dikenali sebagai Bantuan Khas Pesawah dan telah diagihkan kepada 240 ribu pesawah serta mendapatkan komitmen daripada BERNAS untuk berkongsi 30 peratus keuntungan bersihnya daripada perniagaan beras import untuk dikongsikan kepada pesawah.

 

Foto Arkib MG

Bagi menangani kenaikan harga beras import di pasaran akibat sekatan dari Kerajaan India pula, KPKM melaksanakan beberapa iniasiatif antaranya memperuntukkan sebanyak RM420 juta bagi Subsidi Harga Beras Putih Import di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dari 5 Oktober 2023 sehingga 31 Disember 2024.

Selain itu, perbincangan dengan Kerajaan India membolehkan kerajaan mendapat kelulusan khas mengimport beras putih sebanyak 170,000 metrik tan pada bulan Oktober 2023 yang mana hasilnya, harga beras import dunia mula menunjukkan penurunan dan kembali stabil pada tahun ini.

Dalam masa sama, Mohamad mengarahkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk membantu memasarkan Beras Putih Tempatan (BPT) kepada pengguna bagi menangani isu kekurangan BPT di pasaran.

Walaupun langkah itu tidak dapat menyelesaikan keseluruhan masalah kekurangan bekalan BPT, namun secara amnya ketersediaan bekalan beras putih import sentiasa ada di pasaran untuk kegunaan pengguna.

Sementara itu, menyedari terdapat ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat mengenai tahap penguatkuasaan sektor padi dan beras negara, Mohamad melaksanakan beberapa inisiatif antaranya pemisahan kuasa yang jelas antara Setiausaha Bahagian Industri Padi; Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras serta wakil Kementerian dalam Lembaga Pengarah BERNAS.

Foto Arkib MG

Langkah itu bertujuan mengelakkan pertindihan peranan dan konflik kepentingan, di samping mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem tadbir urus industri padi dan beras negara.

Selain itu, KPKM turut menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) sebagai agensi kawal selia dan penguatkuasaan bersepadu sektor agromakanan, melibatkan ribuan pegawai penguat kuasa sedia ada yang diselaraskan di bawah satu struktur tunggal.

Bagi menangani isu ketiadaan bekalan BPT yang berpunca daripada peningkatan kos pengeluaran sehingga tidak lagi selari dengan harga kawalan sedia ada pula, KPKM melaksanakan Program Khas Subsidi BPT di Semenanjung dengan peruntukan sebanyak RM150 juta.

Program itu melibatkan pengeluaran dan pengedaran kira-kira empat juta kampit BPT secara berperingkat dalam tempoh enam bulan (1 Mac 2025 – 31 Ogos 2025), bertujuan mengadakan bekalan di pasaran serta memastikan rakyat terus mendapat akses kepada beras tempatan pada harga berpatutan.

Sistem rice tag (track and trace) pada kampit BPT bersubsidi telah diperkenal sebagai salah satu mekanisme mengkaji tabiat pasaran dan pengguna.

Dalam masa sama, KPKM turut meminta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) melaksanakan kajian pasaran umum terhadap sektor padi dan beras negara bagi mengenal pasti punca sebenar ketiadaan bekalan BPT.

Varieti Padi Clearfield Baharu Mardi MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Service Sdn Bhd, Seberang Perak. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 14 JULAI 2025.

Selain itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut diminta mendaftarkan dan mendokumentasikan profil genetik DNA BPT sebagai asas pengesahan dan pemantauan, bagi membolehkan Kerajaan MADANI dan KPKM merangka serta melaksanakan dasar baharu yang lebih berkesan, berasaskan data dan relevan bagi pembangunan mampan sektor padi dan beras negara pada masa hadapan.

Bagi meningkatkan produktiviti dan hasil pengeluaran padi negara, Mohamad telah menambah baik pelaksanaan Skim Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) dengan memasukkan elemen pengurusan bersepadu berasaskan amalan terbaik ala Sekinchan, seterusnya diperkenalkan sebagai Smart SBB Ala Sekinchan.

Skim itu telah dilaksanakan secara perintis di Kampung Lat 1000, Perlis dan menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi kecekapan pengurusan ladang, penyelarasan operasi serta hasil pengeluaran padi yang direkodkan dalam julat sekitar enam hingga lapan tan sehektar, berbanding purata nasional.

Dalam mendepani cabaran terbesar iaitu menyediakan infrastruktur pengairan yang terbaik pula, KPKM memulakan pelaksanaan projek membaik pulih dan membina sistem saliran tersier di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) melalui pendekatan kerjasama awam dan swasta (PPP) dengan nilai pelaburan berjumlah RM5 bilion.

Apabila siap sepenuhnya, projek itu dijangka membolehkan penanaman padi sehingga lima musim dalam tempoh dua tahun, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran padi, memperkukuh keterjaminan makanan negara dan menjamin kelangsungan bekalan beras untuk rakyat.

Selain itu, KPKM turut menjalinkan kerjasama strategik yang erat dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi membaik pulih kawasan sawah terbiar serta meneroka pembangunan jelapang padi baharu.

Kerajaan Negeri Sarawak telah memberi komitmen untuk membuka dan membangunkan jelapang padi, dengan anggaran lebih 11,000 hingga 14,000 hektar tanah telah dikenal pasti untuk tujuan tanaman padi dalam usaha memperkukuh keterjaminan makanan negara menjelang 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast