KENYATAAN media Pemuda Pas Perlis berhubung kontroversi melibatkan jawatan Menteri Besar negeri itu.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Perlis menyeru semua pihak memainkan peranan dalam menjaga kestabilan kerajaan negeri itu.

Ketuanya, Haziq Asyraf Dun berkata, sebarang cubaan untuk mengganggu-gugat kestabilan kerajaan negeri bukan sahaja merugikan rakyat, malah hanya menguntungkan pihak musuh yang sentiasa menunggu peluang.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri menambah, penduduk Perlis telah memberikan mandat yang jelas kepada Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

Sehubungan itu, menurutnya, keutamaan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan negeri hendaklah sentiasa didahulukan berbanding kepentingan peribadi atau kelompok tertentu yang boleh membawa mudarat kepada kestabilan politik dan pentadbiran negeri.

“Dewan Pemuda Pas Perlis memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan Kerajaan Negeri Perlis demi kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu.

“Pemuda Pas Perlis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati cuba mencetuskan ketidaktentuan politik dan mengancam kestabilan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan keadaan politik di Perlis bergolak selepas terdapat dakwaan wujud usaha menyingkirkan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Memetik sumber, seramai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tiga daripada Pas didakwa telah menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, bagi menyatakan hilang keyakinan terhadap Mohd Shukri.

Tambah Haziq Asyraf, Pemuda Pas Perlis akan terus komited mempertahankan kestabilan Kerajaan Negeri Perlis demi memastikan agenda kebajikan rakyat, pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

PH Perlis mahu kerajaan negeri kekal hingga tamat penggal

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast