KUANTAN – Bekas Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang dan seorang artis persembahan masing-masing didenda RM10,000 dan penjara enam bulan selepas didapati bersalah kerana memalsukan dokumen lima tahun lalu.
Keputusan dibuat Hakim Sazline Safie yang turut memerintahkan Dayang Kartini Awang Bujang, 49, dan penggiat seni budaya, Mardziana Che Mohd Amin, 39, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Sebelum itu, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama memalsukan satu baucar bayaran berkaitan perolehan aksesori set kepala pelanduk untuk kumpulan seni jabatan itu atas nama Anas Niaga bernilai RM9,920, sedangkan mereka mengetahui syarikat berkenaan tidak terlibat dalam transaksi tersebut.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat JKKN Pahang di sini pada 26 Jun 2020.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry.
Dayang Kartini pula diwakili peguam Azi Azlin Zulkifli manakala Mardziana diwakili peguam Taufek Razak.
Dalam mitigasi, Azi Azlin memohon hukuman minimum terhadap anak guamnya yang kini berkhidmat sebagai Pengarah (Produksi) JKKN Pahang dengan alasan beliau hanya menerima separuh daripada gaji bulanan.
“Beliau menanggung empat orang anak berusia antara 10 hingga 29 tahun, termasuk seorang yang mengalami masalah penglihatan,” katanya.
Sementara itu, Taufek pula berkata, anak guamnya yang kini bertugas sebagai artis budaya di JKKN Kelantan mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah serta seorang suami yang menghidap penyakit jantung.
Bagaimanapun, Fadhly menyifatkan kesalahan itu sebagai serius dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum memandangkan perbicaraan penuh telah selesai.
“Sepanjang perbicaraan, didedahkan bahawa mereka gagal mematuhi prosedur kerajaan dan set kepala pelanduk berkenaan tidak pernah dibekalkan. Kedua-dua tertuduh sedar akan perbuatan mereka,” katanya.
Hakim Sazline kemudian menjatuhkan hukuman seperti diputuskan namun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, selain menaikkan jumlah jaminan daripada RM10,000 kepada RM12,000 bagi setiap tertuduh.
Sebagai rekod, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dikemukakan pada 20 Januari 2022. – MalaysiaGazette
















