Suri Narudin dilaporkan hilang pada 15 Disember 2025 sebelum mayatnya ditemukan dalam beg di Rembau, Negeri Sembilan pada 18 Disember 2025.

KUALA LUMPUR – Polis Negeri Sembilan mengesahkan identiti mayat wanita yang ditemukan dalam beg di sebuah rumah tidak berpenghuni Kampung Batu 4, Rembau pada 18 Disember lalu adalah Suri Narudin.

Ketua Polisnya, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pengesahan itu diperoleh hasil pemeriksaan dan perbandingan cap jari yang dijalankan oleh pihak polis.

“Satu set cap jari mangsa telah dikemukakan ke Pejabat Pendaftaran Penjenayah Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi tujuan semakan.

“Berdasarkan pemeriksaan dan perbandingan cap jari, pihak polis mengesahkan cap jari berkenaan sepadan dengan rekod dalam Sistem Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) atas nama Suri Narudin yang dilaporkan hilang pada 15 Disember lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Alzafny, pihaknya turut menerima laporan analisis DNA (Deoxyribonucleic Acid) daripada Jabatan Kimia Malaysia yang menunjukkan hubungan kekeluargaan dengan ahli keluarga wanita terbabit.

Jelas beliau, penemuan itu sekali gus mengukuhkan proses pengesahan identiti mayat sebagai Suri Binti Narudin.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes tersebut diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang wanita di dalam beg di sebuah rumah di Rembau pada 18 Disember lalu yang dikaitkan dengan seorang wanita, Suri Narudin, 53, yang dilaporkan hilang sejak 8 Disember lalu.

Susulan itu, polis menahan dua lelaki masing-masing di Melaka termasuk suspek di Genting Sempah, Bentong, Pahang untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast