KEPALA BATAS – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang mengeluarkan sebanyak 285 tindakan penguatkuasaan serta membuka 52 kertas siasatan hasil pelaksanaan Operasi Gempur/Lembangan dan Operasi Hazard/Lusuh di negeri ini sepanjang tahun 2025.
JAS Pulau Pinang dalam kenyataan berkata, tindakan itu diambil hasil pemeriksaan ke atas 252 premis industri menerusi 23 operasi bersepadu yang dijalankan dengan kekuatan tujuh pasukan melibatkan seramai 20 anggota penguat kuasa.
“Bagi Operasi Gempur/Lembangan, sebanyak 12 operasi dilaksanakan sehingga 15 Disember lalu dengan 229 premis industri diperiksa, khususnya membabitkan premis di hulu takat pengambilan air dalam kawasan lembangan sungai utama termasuk Sungai Juru dan Sungai Jawi.
“Hasil operasi berkenaan, kita mengeluarkan 215 arahan di lapangan, 70 notis arahan, selain mengenakan satu penahanan operasi kelengkapan serta membuka 44 kertas siasatan tawaran kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling,” katanya hari ini.

Tambah JAS, menerusi Operasi Hazard/Lusuh pula, sebanyak 11 operasi dilaksanakan melibatkan pemeriksaan ke atas 23 premis industri yang menjalankan aktiviti memproses sisa elektronik (e-waste) tanpa lesen atau kebenaran,” katanya hari ini.
“Hasil operasi itu menyaksikan lapan kertas siasatan dibuka, dengan empat kes telah selesai dibawa ke mahkamah dan dikenakan denda keseluruhan RM180,000 manakala empat kes lagi masih dalam tindakan mahkamah.
“Operasi penguatkuasaan bersepadu itu bertujuan meningkatkan pematuhan industri terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan di bawahnya, selain memastikan pemantauan berterusan bagi melindungi kepentingan alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette
















