Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Kemelut politik yang berlaku di Perlis memperlihatkan kegagalan sebenar Pas dan Perikatan Nasional (PN) dalam mentadbir negeri.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, krisis itu bukan lagi isu perbezaan pandangan, tetapi perang terbuka dalam sebuah kerajaan apabila Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menentang kerajaan sendiri.

Malah, menurutnya, krisis itu juga bukan baru terjadi, sebaliknya telah berlarutan lebih setahun, sekali gus membuktikan perebutan kuasa dalaman Pas dan kegagalan PN mengawal gabungan sendiri.

“Amat memalukan apabila negeri sekecil ini menjadi negeri paling tidak stabil, paling bercelaru dan paling memalukan dari sudut tadbir urus politik.

“Jika negeri kecil pun gagal diurus, ini bukan soal cabaran, ini soal tidak layak,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu malam tadi memutuskan keahlian tiga ADUN Pas Perlis terhenti serta-merta.

Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Keputusan itu susulan tindakan mereka yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, sekali gus disifatkan boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.

Sementara itu, Mahfuz berkata, lebih buruk Pas yang selama ini mendakwa membawa politik Islam dan moral tinggi kini terdedah sebagai parti yang gagal mengurus isu dalaman sendiri.

Menurutnya, rakyat Perlis hari ini dijadikan tebusan kepada perbalahan dalaman politik yang tidak berkesudahan yang menyebabkan pentadbiran negeri terabai, keyakinan rakyat runtuh, dan imej politik Islam rosak di tangan Pas sendiri.

“Jelaslah, yang runtuh bukan musuh mereka, tetapi keupayaan mereka sendiri untuk memerintah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast