Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mencadangkan supaya Perikatan Nasional (PN) dibubarkan dan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula susulan polemik politik di Perlis.

Malah, katanya, usaha supaya memperkasakan MN dan bukannya PN itu sudah dibangkitkan sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Hari ni baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Polemik politik di Perlis bermula apabila lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing-masing tiga daripada Pas dan lima daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

Susulan itu, Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu malam tadi memutuskan keahlian tiga ADUN Pas Perlis terlibat terhenti serta-merta.

Tiga ADUN berkenaan ialah Saad Seman (Chuping); Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Ekoran pemecatan tiga ADUN Pas itu juga, Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan hari ini memaklumkan, terdapat keperluan untuk mengadakan pilihan raya kecil di DUN berkenaan bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri.

Sebelum ini, MN yang piagamnya ditandatangani pada 14 September 2019 antara UMNO dan Pas boleh dianggap berkubur apabila Pas memuktamadkan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN bagi menghadapi PRU-15.

Keputusan Pas itu sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan oleh UMNO, iaitu parti ter­sebut perlu meninggalkan Ber­satu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast