KUALA LUMPUR – Aktiviti lumba haram sekumpulan penunggang motosikal yang melanggar lampu isyarat merah undang padah apabila mengakibatkan berlakunya kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di kawasan laluan Lapangan Terbang Lahad Datu, Sabah pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata salah seorang suspek yang bertindak bahaya itu berjaya diberkas selepas beberapa ketika melarikan diri daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, suspek berusia 21 tahun itu ditahan di kediamannya di Felda Sahabat, Selasa yang lalu.

“Salah seorang penunggang motosikal telah melanggar lampu isyarat merah lalu terlanggar sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda di kawasan laluan Lapangan Terbang Lahad Datu,” katanya.

Terdahulu katanya, kejadian yang tular di media sosial pada jam 3.50 pagi Ahad lalu, memaparkan kegiatan lumba haram oleh sekumpulan penunggang motosikal.

Menurutnya, suspek yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Suspek telah direman selama empat hari untuk tindakan lanjut,”tambahnya.

Dzulbaharin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Bagaimanapun, mana-mana individu yang melihat kejadian ini diminta tampil dan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau terus ke IPD Lahad Datu untuk membantu siasatan,” katanya lagi. -Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast