KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Perlis menyatakan keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat negeri itu susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar hari ini.

Pengerusi PH Perlis, Noor Amin Ahmad berkata, ia termasuk sama ada melantik Menteri Besar baharu selaras Undang-Undang Tubuh Negeri atau membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Menurut beliau, PH Perlis akan terus bersikap matang, bertanggungjawab dan bersedia memikul amanah rakyat demi masa depan Perlis yang lebih stabil dan sejahtera.

“Kita mengambil maklum peletakan jawatan Menteri Besar oleh ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli, seperti yang diumumkan petang tadi.

“PH Perlis mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik dan terus mampu berkhidmat sebagai ADUN sehingga tamat penggal,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Bagaimanapun, Amin menambah, PH Perlis berpandangan kemelut politik yang berlaku tidak wajar dipanjangkan kerana ia hanya merugikan rakyat dan menjejaskan kestabilan negeri.

“Rakyat Perlis mahukan ketenangan, kepimpinan yang jelas dan kerajaan yang fokus kepada kebajikan serta pembangunan negeri,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shukri hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perlis dengan surat peletakan jawatan itu dipersembahkan kepada Tuanku Raja Perlis tengah hari tadi.

Menurut Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, keputusan itu dibuat secara sukarela dan atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast