KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melahirkan rasa kesal dan memandang serius berhubung laporan beberapa lokasi di kawasan pusat bandar dan lokasi tumpuan awam yang dilaporkan kotor dan dipenuhi sampah.
Menurutnya, sikap tidak bertanggungjawab seperti itu mencemarkan imej bandar raya serta nama negara di mata masyarakat dan pelancong, ketika Malaysia sedang melangkah ke arah negara maju dan bersedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, kerajaan melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa komited melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan bandar berada dalam keadaan bersih, teratur dan selesa.
Namun, ujar beliau, usaha itu tidak akan berkesan tanpa kesedaran dan kerjasama orang ramai.
“Saya ingin menegaskan bahawa kebersihan bandar bukan semata-mata tanggungjawab kerajaan, SWCorp atau PBT (pihak berkuasa tempatan), sebaliknya merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook KPKT malam ini.

Terdahulu, tular di dalam media sosial keadaan di beberapa lokasi tumpuan pelancong di sekitar Jalan Bukit Bintang di sini, yang didapati dipenuhi sampah dan kotor susulan sambutan perayaan Krismas yang berlangsung malam tadi.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, tindakan segelintir pihak yang membuang sampah merata-rata itu telah menjejaskan kebersihan dan imej bandar raya.
Sementara itu, Kor Ming mengingatkan bermula 1 Januari ini, tindakan lebih tegas akan diambil oleh SWCorp dan PBT berhubung aspek kebersihan.
Tegasnya, mana-mana individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam boleh dikenakan denda sehingga RM2,000, selain hukuman tambahan Perintah Khidmat Masyarakat maksimum 12 jam dalam tempoh enam bulan.
Menurut beliau, pendekatan itu bertujuan mendidik masyarakat agar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap persekitaran.
“Saya menyeru semua pihak agar menghormati ruang awam yang kita kongsi bersama.
“Raikan apa jua perayaan atau aktiviti dengan penuh kesedaran sivik, gunakan tong sampah yang disediakan dan patuhi undang-undang demi kebersihan bandar,” katanya. – MalaysiaGazette
















