KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis yang dipecat keahlian mereka serta-merta malam tadi, perlu meletakkan jawatan sebagai ADUN.
Perkara itu seperti yang terkandung dalam lafaz baiah dan sumpah yang dibuat secara sukarela oleh setiap calon Pas yang memilih untuk bertanding pada pilihan raya umum (PRU).
Menurut Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, baiah itu dilafazkan dengan penuh kesedaran, tanpa sebarang paksaan, dan setiap calon memahami dengan jelas apa yang diikrarkan.

“Calon PAS tidak perlu menandatangani perjanjian bersyarat seperti denda RM10 juta jika lompat parti atau seumpamanya. Cukuplah dengan lafaz bai‘ah.
“Jika ada yang memilih untuk melanggarnya, itu adalah urusan dirinya dengan prinsip dan nilai yang telah diikrarkan.
“Pengalaman yang telah kita saksikan sebelum ini membuktikan bahawa bai‘ah ini benar-benar teruji, dan akibatnya jelas kepada mereka yang mengingkarinya,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
ARTIKEL BERKAITAN
- https://malaysiagazette.com/2025/12/25/sudah-lebih-3-tahun-prk-di-3-dun-perlis-tak-perlu-diadakan-pemerhati/
- https://malaysiagazette.com/2025/12/24/pas-gugur-keahlian-tiga-adun-perlis-berkuat-kuasa-serta-merta/
Menerusi hantaran sama, Idris turut memuat naik dokuman lafaz baiah dan sumpah tersebut yang perlu ditandatangani oleh setiap calon yang mewakili Pas pada PRU.
Antara lain, kandungan lafaz baiah dan sumpah itu menyatakan mana-mana calon Pas yang memenangi PRU sekiranya bertindak meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan kerelaan sendiri, maka akan dilaknat oleh Allah SWT; Rasulullah SAW; orang yang beriman serta sekalian yang melaknat.

Selain itu, menurut dokumen lafaz baiah dan sumpah tersebut, segala perbelanjaan yang menggunakan wang elaun wakil rakyat adalah haram.
Malam tadi, Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu memutuskan keahlian tiga ADUN Pas Perlis terhenti serta-merta.
Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
Keputusan itu susulan tindakan mereka yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli yang disifatkan boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
















