Gambar hiasan logo UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Perhatian rakyat dalam isu titah adendum bukan semata-mata melibatkan individu iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi titah yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang mempunyai kedudukan tersendiri dalam kerangka sistem Raja Berperlembagaan negara.

Badan Perhubungan UMNO Selangor dalam satu kenyaatan berkata, dalam konteks itu, sebarang bentuk perayaan, sindiran atau kenyataan sinis terhadap keputusan mahkamah yang berkait rapat dengan isu berkenaan boleh ditafsirkan sebagai memperlekehkan kepentingan titah Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, ia sekali gus menimbulkan persoalan serius tentang tahap penghormatan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“UMNO Selangor juga ingin mengingatkan bahawa proses perundangan berkaitan perkara ini belum mencapai penamat keseluruhan, memandangkan pihak Najib masih mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan melalui saluran sah yang diperuntukkan undang-undang.

“Sekiranya proses rayuan tersebut kelak menghasilkan keputusan berbeza dan kedudukan titah adendum diperakui secara sah, maka kenyataan-kenyataan bersifat sinis dan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan sebelum ini akan jelas memperlihatkan ketidaksensitifan serta kegagalan memahami prinsip keadilan dan Raja Berperlembagaan,” katanya.

Terdahulu, UMNO Selangor menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan sekumpulan penyokong dan ahli Pemudanya yang mengadakan perhimpunan di hadapan Pusat Khidmat Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin baru-baru ini.

Jelasnya, tindakan itu dibuat sebagai manifestasi bantahan terhadap tindakan Bee Yin yang disifatkan bukan sahaja tidak beradab dari sudut politik, malah sensitif dari sudut Perlembagaan.

Apatah lagi, ujarnya, tindakan itu dibuat oleh seorang ahli Parlimen dalam Kerajaan Perpaduan yang sepatutnya memahami dan menghormati prinsip Raja Berperlembagaan.

Tambahnya, dalam konteks politik semasa, UMNO juga tidak pernah meraikan kekalahan mana-mana parti lawan, termasuk keputusan pilihan raya negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, walaupun ia melibatkan kegagalan DAP memperoleh sebarang kerusi.

“Inilah perbezaan ketara antara politik beradab dan politik ejekan,” katanya.

Lebih membimbangkan, tambahnya, kenyataan seperti yang dikeluarkan Bee Yin mengukuhkan persepsi lama bahawa pimpinan DAP masih gagal menunjukkan kepekaan terhadap perkara-perkara asas negara, termasuk kedudukan Raja-Raja Melayu dan peranan institusi diraja dalam sistem perundangan dan kenegaraan Malaysia.

Tegasnya, UMNO Selangor akan terus berdiri teguh mempertahankan adab politik, kedaulatan perlembagaan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu, dan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan memperlekehkan prinsip tersebut, sama ada secara terbuka atau tersirat.

“Prinsip ini akan terus menjadi pendirian UMNO Selangor dalam memastikan politik negara kekal beradab, berperlembagaan dan menghormati institusi,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast