JOHOR BAHRU – Sejarah kegagalan Muafakat Nasional (MN) sebelum ini perlu diambil iktibar dan UMNO atau Pas tidak mengulangi kesilapan itu yang boleh menjejaskan kestabilan politik negara.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh menghidupkan semula MN jelas memperlihatkan UMNO seperti masih gagal belajar daripada pengalaman lalu.

“MN yang ditubuhkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akhirnya runtuh akibat pengkhianatan Pas sendiri yang memilih untuk berpaling arah demi kepentingan politik sempit.

“Sejarah ini adalah fakta politik yang tidak boleh dipadam atau diputarbelitkan. Menghidupkan semula gabungan yang telah gagal hanya berisiko mengulangi episod pengkhianatan sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Muhamad Akmal mencadangkan Perikatan Nasional (PN) dibubar manakala MN diwujudkan semula berikutan perkembangan politik di Perlis ketika ini.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, situasi di Perlis ketika ini menggambarkan berlakunya dakwaan tikam belakang.

Mengulas lanjut, Dzulkefly menegaskan, kepimpinan Pemuda UMNO seharusnya berfikir secara lebih matang dan berpandangan jauh dengan memberi keutamaan kepada agenda pembangunan negara serta kesejahteraan rakyat, bukannya terjebak dalam gimik politik pembangkang yang boleh menyemai kebencian dan perpecahan.

Amanah Johor katanya, turut menegur kepimpinan UMNO agar tidak melayan agenda peribadi mana-mana pihak yang cuba mengheret Kerajaan Perpaduan kembali ke dalam percaturan lama yang terbukti gagal.

Menurut Dzulkefly, usaha membentuk semula MN bukan sahaja tidak mendatangkan sebarang keuntungan politik kepada UMNO malah berisiko menggugat kestabilan politik negara.

“Politik Malaysia memerlukan kematangan, kejujuran dan keikhlasan. Mengulangi kesilapan lama dengan rakan politik yang pernah mengkhianati amanah rakyat bukanlah jalan ke hadapan,” ujarnya.

Beliau menegaskan, Amanah Johor kekal dengan pendirian bahawa masa depan negara tidak boleh digadai demi percaturan politik sempit serta nostalgia terhadap gabungan yang telah terbukti gagal.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast