Muafakat Nasional
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pemimpin UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dirayu membuang ego serta sengketa lama, dan duduk semeja demi memperjuangkan kepentingan rakyat.

Ketua Bersatu Bahagian Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, langkah itu penting bukan sahaja demi memperkukuh perpaduan orang Melayu, malah untuk memastikan semua kaum di negara ini dapat kembali hidup dengan aman, sejahtera dan saling menghormati.

Menurutnya, saranan supaya Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula perlu diberi perhatian serius oleh pemimpin UMNO, Pas dan Bersatu kerana disifatkan pendekatan realistik khususnya dalam memperkukuh perpaduan politik orang Melayu yang kini berdepan pelbagai cabaran.

Apatah lagi, tambah beliau, muafakat antara tiga parti utama Melayu itu pernah menjadi tunjang kekuatan perpaduan nasional sebelum ini.

Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin.

“Kerjasama ini bukan sahaja terbukti mampu menjamin kestabilan politik, malah berperanan besar dalam mempertahankan kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu serta hak dan kepentingan orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya ketiga-tiga parti ini dapat mencapai kata sepakat dan kembali duduk semeja atas semangat perpaduan, saya yakin sebarang usaha mana-mana pihak untuk mengugut atau mengambil kesempatan bagi mengubah dasar-dasar asas negara dapat dibendung dengan lebih berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal dalam reaksi terhadap konflik politik di Perlis mencadangkan supaya MN dihidupkan semula dan Perikatan Nasional (PN) dibubarkan.

Saranan Dr. Muhamad Akmal itu kemudiannya disambut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan MN boleh dilancarkan segera sebaik sahaja UMNO dan BN mengisytihar keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, Muhamad Muqharabbin yang juga bekas Exco Pemuda UMNO berkata, perpaduan politik yang kukuh amat diperlukan bagi memulihkan keyakinan pelabur, memperkasa ekonomi negara dan menjamin masa depan generasi akan datang.

Sehubungan itu, ujarnya, usaha menghidupkan kembali MN harus dilihat sebagai satu keperluan strategik demi kestabilan politik dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Lupakan luka lama…Pas, UMNO dan Bersatu perlu bersama hidupkan MN

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast