KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menegaskan pembentukan Muafakat Nasional (MN) tidak semudah yang dijangkakan.
Beliau yang masih bersama UMNO semasa pembentukan MN pada 2019 berkata, jalinan kerjasama atas dasar penyatuan ummah itu tidak diwujudkan melalui kenyataan yang semberono.
Meskipun mengakui MN adalah `winning formula’ terbaik buat Malaysia, Annuar menegaskan, pembentukan kerjasama itu menuntut komitmen tinggi, keikhlasan dan kefahaman terhadap asas muafakat.
“MN dulu terbentuk dari pemikiran mendalam, seperti tertera dalam piagamnya. Itu pun gagal di pertahan. Hayat terkubur tak sampai setahun!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sehubungan itu, kata Annuar, sekiranya MN mahu digerakkan semula, ia perlu dilahirkan daripada kefahaman mendalam dan komitmen yang tinggi.
Tegasnya, MN kali ini perlu ada misi iaitu membawa Malaysia ke kedudukan lebih baik, serta pembinaan negara bangsa dan rukun negara yang lebih padu.
“Justeru usah semberono. Usah jadikan MN suatu “escapism”. MN harus inklusif dan jalan penyelesaian.
“Bermula dengan UMNO dan PAS…,” katanya.
Terdahulu, usaha menghidupkan semula MN kembali hangat diperkatakan selepas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh semalam mencadangkannya sebagai maklum balas kepada konflik politik yang berlaku di Perlis.
Saranan Dr. Muhamad Akmal itu kemudiannya disambut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menegaskan MN boleh dilancarkan segera sebaik sahaja UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengisytihar keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Sebelum ini, MN yang piagamnya ditandatangani pada 14 September 2019 antara UMNO dan Pas boleh dianggap berkubur apabila Pas memuktamadkan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PN bagi menghadapi PRU-15.
Keputusan Pas itu sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan oleh UMNO, iaitu parti tersebut perlu meninggalkan Bersatu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN.
Susulan itu, Annuar yang bekas Ahli Parlimen Ketereh sebelum ini mengumumkan MN akan bergerak sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memupuk nilai muafakat, perpaduan ummah dan keutuhan sistem politik negara yang lebih baik. – MalaysiaGazette
















