Logo SD Guthrie
SD Guthrie

KUALA LUMPUR – SD Guthrie Berhad (Guthrie) akan menggubal dasar gaji kehidupan wajar pada suku pertama tahun depan bagi meningkatkan taraf kehidupan pekerjanya di Malaysia.

Katanya, polisi tersebut akan diperkenalkan secara berfasa bagi menyelaraskan komitmen sedia ada dengan Panduan Perbelanjaan Belanjawanku oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Fasa pertama katanya akan melibatkan 8,000 orang pekerja yang bukan dari sektor perladangan dan disasarkan selesai menjelang Disember 2026.

“Komitmen terkini Guthrie terhadap pelaksanaan gaji kehidupan wajar adalah selaras dengan pengumuman yang sama oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) berhubung polisi tersebut.

“Pengumuman PNB tersebut dilaksanakan secara kolektif bersama Syarikat-syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLICs) yang lain sebagai sebahagian daripada inisiatif GEAR- uP (Government-linked Enterprises Activation and Reform Programme) yang diterajui Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, dalam merangka polisi tersebut, Guthrie mengambil kira komitmen sedia ada serta piawaian antarabangsa berkenaan kebajikan pekerja yang telah pun diamalkan oleh syarikat tersebut.

Ini termasuklah tanggungjawab untuk menyediakan manfaat kepada pekerja di bawah undang-undang Negara, khususnya Akta 446 atau Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990, yang telah dipinda pada Julai 2019.

Guthrie juga mematuhi panduan dan piawaian yang telah ditetapkan oleh Persidangan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) serta Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO).

Operasi Guthrie di Malaysia meliputi 11 negeri serta merangkumi 121 ladang-ladang, 31 kilang kelapa sawit dan beberapa fasiliti hiliran serta tenaga boleh diperbaharui.

Lebih 35,000 orang pekerja berkhidmat dalam operasi tersebut termasuklah para pekerja asing dari beberapa buah negara.

Dalam merangka Polisi Gaji Kehidupan Wajarnya, Guthrie akan mengambil kira beberapa faktor penting seperti perbezaan kos sara hidup antara beberapa lokasi dalam negara serta nilai pelbagai manfaat komprehensif sedia ada yang sudah pun dinikmati oleh para pekerja syarikat tersebut. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast