Presiden Lee Jae Myung. Photo AFP

SEOUL – Korea Selatan akan mengklasifikasikan semula akhbar milik Kerajaan Korea Utara yang sekian lama diharamkan sebagai bahan maklumat umum.

Keputusan ini  sekali gus melonggarkan akses orang awam, dalam langkah terbaharu oleh pentadbiran Presiden Lee Jae Myung yang berpendirian damai.

Korea Selatan secara rasmi masih dalam keadaan perang dengan jirannya yang memiliki senjata nuklear itu, dan larangan keselamatan negara telah berkuat kuasa sejak beberapa dekad lalu terhadap propaganda Pyongyang masih dikekalkan.

Pengkritik, termasuk Presiden Lee berpendapat, rakyat Korea Selatan cukup matang dari segi politik untuk menilai sendiri bahan sedemikian, yang sering mengagungkan kepimpinan Korea Utara.

Mereka juga berhujah larangan tersebut merupakan satu bentuk penapisan yang tidak perlu dalam sebuah demokrasi yang dinamik, di samping Korea Selatan merupakan antara negara paling berhubung dan berpendidikan di dunia.

Kerajaan Seoul mengadakan mesyuarat antara agensi pada Jumaat dan mengesahkan terdapat kesepakatan dalam kalangan pihak berkaitan berhubung “pengklasifikasian semula akhbar Rodong Sinmun daripada bahan khas kepada bahan umum,” menurut satu kenyataan.

“Langkah rasmi untuk mengklasifikasikan semula Rodong Sinmun sebagai bahan umum akan dilaksanakan pada awal minggu hadapan melalui prosedur pentadbiran yang diperlukan,” tambah kenyataan kerajaan itu.

Pengumuman tersebut dibuat selepas Kementerian Penyatuan Korea Selatan memaklumkan kepada Presiden Lee minggu lalu bahawa ia berhasrat untuk melonggarkan akses awam terhadap beberapa bahan propaganda Korea Utara.

Lee berkata, pada ketika itu kebimbangan kononnya “orang awam akan terpengaruh dengan propaganda dan menjadi komunis” adalah keterlaluan.

“Sebaliknya, (memberi akses kepada bahan-bahan tersebut) akan menjadi peluang untuk memahami realiti Korea Utara dengan lebih tepat dan berfikir, ‘Perkara itu tidak sepatutnya berlaku,’” katanya.

Awal bulan ini, Lee berkata, beliau berkata, permohonan maaf wajar diberikan kepada Korea Utara berhubung dakwaan arahan pendahulunya untuk menghantar dron dan risalah propaganda merentasi sempadan.

Pyongyang setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap pendekatan Lee, yang berusaha memulihkan hubungan yang retak dengan Korea Utara. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast