KUANTAN – Seorang Penolong Jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) didenda keseluruhan RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah menerima suapan pada bulan Mac 2022 yang lepas.
Keputusan dibuat Hakim Sazlina Safie terhadap Mohd Yusrizal Md Ledza, 40 selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Selain itu, Hakim Sazlina turut memerintahkan hukuman penjara enam bulan jika bapa kepada tiga orang anak itu gagal membayar denda yang dikenakan.
Sebelum ini, Mohd Yusrizal didakwa di atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000 daripada seorang wanita berusia 33 tahun menerusi CIMB Bank Berhad cawangan Temerloh pada 7 Mac dan 23 Mac tahun lalu yang dipindahkan secara atas talian ke dalam akaun miliknya sedangkan dia mengetahui bahawa wanita terbabit mempunyai hubungan dengan tugasan rasminya.
Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan peruntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala Mohd Yusrizal diwakili Peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















