Pas mengumumkan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan Pas menamatkan keahlian tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perlis sehingga membuka laluan kepada kemungkinan pillihan raya kecil (PRK) dinilai mampu menaikkan lagi imej parti tersebut.

Pemerhati politik, Ahmad Fahmi Mokhtar berkata, tindakan Pas itu memperlihatkan kebijaksanaan pemimpin parti tersebut dalam menanggapi kemelut dengan taktikal politik dan teknikal perundangan.

Selain itu, menurutnya, keputusan tersebut juga membuktikan Pas berjaya membuat counter-offensive, bahkan sangat terkehadapan dalam mendepani satu situasi ketika ahli-ahlinya didapati melanggar `garis merah’.

Mengulas lanjut, ujar beliau, ada beberapa tindakan yang sangat menarik diambil Pas dalam konteks krisis komunikasi di Perlis antaranya strategi `pembersihan drastik’ dengan menamatkan serta-merta keahlian tiga ADUN.

Ahmad Fahmi Mokhtar.

Katanya, Pas sangat cermat secara teknikal undang-undang dalam tindakan itu apabila menggunakan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas dengan mengisytiharkan ADUN berkenaan terhenti keahlian, bukannya dipecat.

“Tiba-tiba juga Menteri Besar pula letak jawatan. Ini pun langkah yang tak terjangka dan terjangkau. Tapi ini satu langkah strategic retreat.

“Boleh juga kita sebut strategic sacrifice daripada Cikgu Shukri (Mohd Shukri Ramli). Menunjukkan bekas MB yang berjiwa besar dan tidak gila kuasa.

“Pas sedia reset kembali kepimpinan negeri Perlis,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Selain itu, menurut Ahmad Fahmi, Pas juga sedang menunjukkan kepada rakyat yang mana apabila berdepan dengan kemelut politik, parti tersebut mampu bertindak dengan segera dan bijak.

“Kebolehan Pas mengawal kemelut boleh dibuktikan melalui isu Perlis ini. Dan, setakat ini, Pas sedang control the game,” katanya.

Dalam masa sama, tambah beliau, secara imej besarnya, tindakan Pas dalam konflik di Perlis itu juga kerana tidak mahu kemelut tersebut mengganggu pelan perjalanan Pas dalam membina potensi memimpin negara.

Kelmarin, Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang di Pejabat Presiden Pas di Rusila, Marang, Terengganu memutuskan keahlian tiga ADUN Pas Perlis terhenti serta-merta.

Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Keputusan itu susulan tindakan mereka yang didakwa menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Mohd Shukri yang disifatkan boleh menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast