Poster yang memaparkan karikatur Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin pada sesi penyerahan memorandum bantahan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Puchong, Selangor. Foto SADIQ SANI, 23 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Puchong hari ini membuat keputusan tegas memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong, susulan kenyataan tidak beradab dan menghina Datuk Seri Najib Razak oleh Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, baru-baru ini.

Setiausaha UMNO Bahagian Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin menegaskan tindakan itu diambil ekoran Bee Yin yang gagal mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam walaupun diberikan peluang untuk berbuat demikian.

“Maka dengan ini UMNO Bahagian Puchong secara rasmi dan muktamad memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong, berkuat kuasa serta-merta,” tegas UMNO Puchong dalam surat dua muka surat, hari ini.

Surat berkenaan turut dikemukakan kepada Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajidi Dusuki dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Menurut Mohamad Yusof, keputusan ini meliputi peringkat Parlimen Puchong serta dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu DUN Seri Serdang dan DUN Seri Kembangan.

UMNO Puchong menegaskan, pihaknya tidak lagi akan mengadakan mesyuarat bersama, menyelaras aktiviti politik atau kempen, mahupun bekerjasama dalam strategi pilihan raya dengan PH Puchong.

Mohamad Yusof menambah bahawa UMNO Bahagian Puchong juga menolak sebarang persefahaman tidak rasmi atau “gentleman’s agreement” dengan PH, serta berhak mengambil pendirian sendiri dalam semua isu tempatan.

“UMNO Bahagian Puchong tidak bersetuju dan menolak sikap, kenyataan serta tindakan pemimpin PH Puchong, UMNO Bahagian Puchong berpandangan bahawa maruah parti, prinsip Perlembagaan Persekutuan serta penghormatan terhadap institusi Raja-Raja Melayu telah dicabar dan tidak dihormati,” tegas kenyataan itu.

Walaupun tindakan ini menunjukkan bantahan keras terhadap PH Puchong, UMNO menekankan ia tidak bermakna parti keluar daripada Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional atau negeri.

“Ia merupakan pendirian politik setempat, selagi tidak bercanggah dengan keputusan Majlis Tertinggi UMNO atau kepimpinan Barisan Nasional di peringkat Pusat,” jelasnya.

Susulan keputusan ini, UMNO Bahagian Puchong akan bergerak secara solo di peringkat Parlimen dan dua kerusi DUN serta sokongan kepada calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) atau Pilihan Raya Umum (PRU) akan bersyarat atau mungkin tidak diberikan langsung, sebagai tanda ketegasan parti mempertahankan maruah dan prinsip.

Isnin lalu, Bee Yin memuat naik hantaran berkata “Satu lagi sebab untuk raikan hujung tahun ini”, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan rumah, atas alasan tiada mekanisme undang-undang yang membolehkan ia dilaksanakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast