R.S. Thanenthiran

KUALA LUMPUR – Walaupun Datuk Seri Najib Razak berdepan dengan situasi mencabar sekarang ini, beliau masih mendahulukan kesejahteraan rakyat dan negara.

Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R.S. Thanenthiran berkata, sebagai individu dan pemimpin yang pernah menyumbang banyak jasa kepada pembangunan negara, pendirian Najib ini dicukup dihormatinya.

“Kami amat menghormati anda, Kami akan sentiasa berdiri teguh bersama anda!,” katanya.

Semalam, menerusi kenyataan yang dibacakan oleh peguamnya, Najib meminta semua rakyat Malaysia agar kekal tenang, rasional dan berhemah, serta tidak terpengaruh atau terlibat dalam sebarang provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian awam atau menghina proses perundangan.

Katanya, perbezaan pandangan harus dizahirkan secara matang, tertib dan berlandaskan undang-undang.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menilai perkara ini dengan tenang dan rasional bukan semata-mata dari sudut nasib saya sebagai individu, tetapi demi masa depan institusi negara dan prinsip-prinsip yang dijunjung bersama,” katanya.

Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah turut mengenakan denda berjumlah RM11.38 bilion bagi kesemua empat pertuduhan tersebut.

Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan bekas perdana menteri itu menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing tanpa denda bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara 15 tahun berkuatkuasa serentak selepas bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast