Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu, hari ini bagi menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletakkan jawatan Khamis lalu.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis ke-12 selepas diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Perlis, Arau.

Abu Bakar Perlis yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU merupakan Menteri Besar pertama daripada parti itu bagi negeri Perlis.

Turut hadir pada majlis angkat sumpah itu adalah Mohd Shukri serta semua ADUN PN dan ADUN Pakatan Harapan (PH) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.

Hadir sama, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail; Speaker DUN, Rus’ele Eizan dan Ketua Polis Perlis, Datuk Mohammad Abdul Halim.

Sementara itu, tiga ADUN PAS, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) yang tergugur keahlian mereka dalam parti itu dilaporkan tidak hadir kerana tidak dijemput oleh pihak istana. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast