KEADAAN di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang dipenuhi sampah dan kotor pada malam sambutan Krismas. - Foto: FB KPKT

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengeluarkan peringatan akhir ekoran pelaksanaan khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam berkuat kuasa 1 Januari ini.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata  pegawai penguat kuasa sudah diarahkan untuk melaksanakan undang-undang baharu itu bertujuan memperkukuh kebersihan awam serta tanggungjawab sivik.

“Sesiapa sahaja termasuk warga asing yang membuang sampah di tempat awam akan didenda RM2,000 dan wajib menjalani kerja-kerja pembersihan awam selama 12 jam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Ujarnya, tindakan itu sebagai sebahagian penguatkuasaan lebih tegas terhadap tabiat membuang sampah di tempat awam.

Pada 25 Disember lalu, Kor Ming menegaskan kebersihan bandar menjadi tanggungjawab bersama dan bukan tugas kerajaan atau pihak berkuasa tempatan semata-mata.

Beliau turut menyuarakan kekecewaan kerana masih terdapat segelintir pihak yang membuang sampah, khususnya di pusat bandar dan kawasan awam.

“Malaysia sedang menuju ke arah negara maju dan akan menganjurkan Tahun Melawat Malaysia 2026, sikap tidak bertanggungjawab seperti ini mencemarkan imej bandar serta reputasi negara secara keseluruhan, termasuk dalam kalangan pelancong,” katanya.

Beliau berkata, kementerian menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) komited menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penguatkuasaan berterusan.

Namun katanya, kejayaan usaha itu bergantung kepada kesedaran serta kerjasama orang ramai.

Kor Ming menggesa semua pihak supaya lebih bertanggungjawab apabila berada di kawasan awam semasa menyertai sebarang acara perayaan atau aktiviti.

“Buang sampah ke dalam tong sampah serta mematuhi undang-undang bagi memastikan bandar yang bersih, selesa dan teratur untuk semua.

“Bandar yang bersih mencerminkan masyarakat yang berbudaya. Marilah kita menyokong usaha SWCorp dan PBT dalam memastikan bandar kita lebih bersih, mampan dan boleh didiami untuk generasi akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast