Dr Muhammad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Pusat akan menganjurkan konvensyen khas bagi membolehkan ahli-ahli parti itu menyuarakan isi hati berkenaan hala tuju serta kerjasama UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, konvensyen itu akan diadakan pada 3 Januari (Sabtu) ini, di Dewan Tun Ismail, Pusat Dagangan Putra (WTC) di sini.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh ahli-ahli UMNO untuk menghadiri konvensyen tersebut khususnya dalam menyatakan pendirian sama ada UMNO dan BN perlu kekal atau meninggalkan kerajaan hari ini.

“Saya nak jemput kepada semua yang masih sayang pada perjuangan UMNO ini dan berani untuk suarakan hasrat isi hati kita hadir ke Konvensyen Khas Pemuda UMNO pada 3 Januari 2026 di Dewan Tun Ismail WTC, KL.

“Parti ini milik kita semua. Kita bukan sembang sahaja, tapi kita buat apa kita cakap. Sama ada kekal atau keluar, kita yang menentukannya!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Dr. Muhamad Akmal, pihaknya juga menjemput seluruh kepimpinan UMNO untuk turut menghadiri konvensyen khas itu, sekali gus mendengar sendiri isi hati dan kehendak ahli akar umbi.

Tambahnya, apa yang bakal dicapai dan diputuskan dalam konvensyen itu kemudiannya akan dibawa kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Muhamad Akmal turut merakamkan penghargaan atas tindakan Pemuda UMNO Selangor dan UMNO Bahagian Puchong memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong.

Apatah lagi, ujarnya, Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin sehingga kini seolah-olah mengabaikan tuntutan permohonan maaf atas kenyataannya yang merayakan keputusan mahkamah terhadap Najib yang mengguris perasaan ahli-ahli UMNO. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast