Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Tindakan UMNO Bahagian Puchong memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH) Puchong bukan tanda kekuatan, tetapi hanya memalukan diri sendiri.

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, tindakan itu juga disifatkan tidak bertaring, tidak berkesan, dan langsung tidak mampu mengubah imbangan kuasa DAP di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja gagal `melukakan’ DAP, malah tidak mampu mencalar imej Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin.

“Hakikatnya mudah: boikot ini langsung tidak membawa erti atau impak politik pada DAP.

“Yeo Bee Yin menang tanpa sokongan UMNO. UMNO tidak diperlukan ketika PRU15. Dan UMNO masih tidak diperlukan hari ini,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.

Tambah Lian Ker, sekiranya UMNO benar-benar serius mahu menunjukkan pendirian dalam tindakan itu, ia perlu dilakukan di peringkat kuasa sebenar iaitu di peringkat kepimpinan nasional, bukan melalui protes lemah di peringkat bahagian yang hanya membuka kelemahan sendiri.

Ujarnya, UMNO dinilai sedang menipu diri sendiri sekiranya beranggapan tindakan memutuskan hubungan itu boleh `mencederakan’ DAP.

“Hakikatnya jelas. Yeo Bee Yin akan kekal sebagai Ahli Parlimen Puchong dengan mandat besar…tanpa UMNO.

“Malah, “dengkuran politik” ini hanya menjadikan Yeo Bee Yin kelihatan kebal dan DAP semakin kukuh…sementara UMNO kelihatan reaktif, berpecah dan tidak berdaya,” katanya.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Puchong membuat keputusan tegas memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan PH Puchong, susulan kenyataan tidak beradab dan menghina Datuk Seri Najib Razak oleh Bee Yin, baru-baru ini.

Setiausaha UMNO Bahagian Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin menegaskan, tindakan itu diambil ekoran Bee Yin yang gagal mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam walaupun diberikan peluang untuk berbuat demikian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast