KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parti Amanah Nasional (Amanah) diingatkan supaya tidak lupa dari mana parti itu bermula dan kepada siapa perjuangan mereka.
Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jawatan datang dan pergi tetapi prinsip mesti kekal.
Jelasnya, perjuangan Amanah juga bukan soal diri tetapi soal rakyat dan masa depan negara.
“Teruskan budaya bersatu, berdisiplin dan bekerja dengan rendah hati. Kerana kekuatan Amanah bukan terletak pada angka tetapi pada nilai dan istiqamah kita.
“Perjalanan ini masih panjang. Amanah ini wajib kita jaga, bersama-sama,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.
Menurut Mohamad, Amanah bermula pada tahun 2015 sebagai sebuah parti kecil dan serba kekurangan namun diperkukuh oleh tekad dan semangat kebersamaan yang besar.
Jelasnya, Amanah memilih jalan yang tidak mudah dan berganding dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (PH) bukan kerana kuasa semata-mata tetapi kerana keyakinan bahawa negara ini mesti ditadbir dengan amanah, keadilan dan integriti.
“Alhamdulillah, dengan kesabaran dan kerja bersama, kita berjaya melakar sejarah pada tahun 2018,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamad mengajak seluruh ahli Amanah untuk terus bekerja kuat, memperkukuh saf dan membesarkan Amanah dengan akhlak, disiplin serta kesungguhan.
Ujarnya, ahli-ahli Amanah perlu menunjukkan bahawa perjuangan parti itu berteraskan Islam Rahmatan Lil ‘Alamin membawa rahmat, keadilan dan kesejahteraan kepada semua, tanpa mengira latar belakang.
“Selagi kita berpaut pada nilai, bersatu dalam tujuan dan ikhlas berkhidmat, Amanah akan terus relevan, diyakini rakyat dan menjadi harapan untuk negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















