KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Malaysia yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar terus menurun 1.8 peratus pada November 2025, berbanding penurunan 0.1 peratus pada Oktober 2025.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, sektor pertanian, perhutanan & perikanan menurun 9.7 peratus, berbanding peningkatan 2.7 peratus pada bulan sebelumnya, dipengaruhi oleh penurunan dua digit 16.2 peratus dalam indeks penanaman tanaman kekal.
Pada masa yang sama, sektor perlombongan merosot 7.2 peratus, berbanding penurunan 1.0 peratus pada Oktober 2025.
Kemerosotan ini disebabkan oleh perubahan negatif bagi kedua-dua indeks pengekstrakan gas asli dan petroleum mentah, masing-masing turun 11.4 peratus dan 5.5 peratus.
Sektor pembuatan juga mencatatkan penurunan perlahan 0.6 peratus, mengekalkan kadar penurunan yang sama seperti bulan sebelumnya, disebabkan oleh penurunan 6.6 peratus dalam indeks pembuatan kok &produk petroleum bertapis.
Sebaliknya, sektor bekalan elektrik & gas meningkat 4.1 peratus, manakala sektor bekalanair naik 10.1 peratus.
Mohd Uzir menjelaskan lagi, pada asas bulan ke bulan, IHPR Pengeluaran Tempatan menurun 0.3 peratus, selepas tiada perubahan yang dicatatkanpada Oktober 2025.
Sektor pertanian, perhutanan & perikanan turun 4.6 peratus (Oktober 2025: 0.9%), disebabkan oleh penurunan penanaman tanaman kekal (-7.6%).
Sektor perlombongan juga turun0.8 peratus (Oktober 2025: -4.8%), dipengaruhi oleh penurunan indeks pengekstrakan gas asli (-1.2%) dan petroleum mentah (-0.8%).
Bagi sektor utiliti,sektor bekalan air dan elektrik & gas masing-masing menurun sebanyak 0.8 peratus dan 0.2 peratus.
Sebaliknya, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan sederhana 0.3 peratus, sama seperti bulan sebelumnya.disokong oleh indeks pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (1.3%) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (0.4%).
Mengulas lanjut mengenai IHPR Pengeluaran Tempatan mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata, semua peringkat pemprosesan mencatatkan perubahan negatiftahun ke tahun pada November 2025.
Indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya turun 6.2 peratus (Oktober 2025: 1.2%), dipengaruhi oleh bahan bukan makanan (-8.4%).
Sementara itu, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen menurun 1.1 peratus (Oktober 2025: -0.2%), disebabkan oleh bahan api yang diproses &pelincir (-7.5%).
Pada masa yang sama, indeks barang siap turun 0.2 peratus (Oktober 2025: -1.0%), dipengaruhi oleh kelengkapan modal (-0.1%).
Pada asas bulanan, indeks bahan mentah untuk diproseskan menurun 2.7 peratus.
Sebaliknya, kedua-dua indeks bahan perantaraan, bekalan & komponendan barang siap masing-masing mencatatkan peningkatan 0.2 peratus dan 0.3 peratus. – MalaysiaGazette
















