Mayat mangsa dibedah siasat di Hopsital Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kematian seorang warga emas selepas kereta dipandunya tertusuk sebatang besi dalam kemalangan di Jalan Thean Teik Ayer Itam di sini hari ini, disahkan berpunca kecederaan di bahagian muka yang konsisten dengan kemalangan jalan raya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, punca kematian itu diperoleh hasil laporan bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang.

“Terdahulu kita menerima maklumat mengenai kemalangan maut itu pada jam 10.08 pagi, membabitkan sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu lelaki warga tempatan di Jalan Thean Teik, bersebelahan sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 9.41 pagi ketika kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Jalan Air Itam menghala ke Lebuhraya Thean Teik.

“Ketika tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang air di lorong kanan jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tanbah beliau, impak pelanggaran itu menyebabkan sebatang besi di kawasan berkenaan menembusi bahagian pemandu kereta terbabit.

“Mangsa berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Warga emas maut, kereta tertusuk besi

Media terdahulu melaporkan seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan ngeri apabila kereta dipandunya ditusuk sebatang besi dalam kejadian di Ayer Itam di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa Lim Soon Teik, 67, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Difahamkan, mangsa memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios secara bersendirian sebelum  memasuki laluan yang ditutup untuk pemasangan kabel elektrik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast