Seorang penguatkuasa KPDN Pahang cawangan Kuantan menjalankan pemeriksaan di premis jual durian di Batu 3, Kuantan

KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang cawangan Kuantan mengesahkan telah memeriksa premis menjual durian di Batu 3 di sini yang didakwa melanggar undang-undang ketika menjalankan perniagaan.

Difahamkan, tiga anggota penguatkuasa melakukan pemeriksaan pada Sabtu lepas susulan tular satu hantaran seorang pengguna di laman Thread bernama hafeezboh pada hari yang sama.

Individu itu mendakwa berlaku pencatutan harga ketika proses pembelian selain tiada pameran harga durian di premis itu menyebabkan timbul kekeliruan kepada pembeli.

“Orang tadi (lain) tanya (peniaga) cakap RM28 sekilogram, saya tanya pula cakap RM30 sekilogram. Mengarut. Tak pamer harga itu sebab nak mencatut. Tempat ni famous, korang biar je peniaga buat suka hati,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Sementara itu, pihak KPDN Pahang memaklumkan, hasil pemeriksaan awal ke atas premis berkenaan tidak menemui sebarang pelanggaran undang-undang penjualan seperti didakwa pembeli terbabit.

“Hasil aduan mendapati, premis tersebut ada mempamer tanda harga mengikut kategori buah durian yang dijual manakala alat timbang yang digunakan juga masih lagi dalam tempoh tentusahan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

KPDN Pahang bagaimanapun akan terus menjalankan pemantauan agar peniaga tidak mengambil kesempatan memanipulasi harga durian kepada pelanggan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast