KUANTAN – Majlis Bandar Raya Kuantan (MBK) hari ini mengumumkan pelaksanaan kadar baharu kompaun bagi kesalahan letak kereta berkuatkuasa 1 Januari 2026.
Datuk Bandar, Datuk Zaliza Zulkipli berkata, orang awam kini hanya akan dikenakan kompaun RM10 bagi kesalahan terbabit dan pembayaran perlu dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan.
“Bagaimanapun, nilai kompaun akan menjadi RM100 jika bayaran dibuat selepas tempoh 30 hari dari tarikh kompaun dikenakan,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, pelaksanaan kadar baharu itu bertujuan menggalakkan orang ramai membuat bayaran kompaun dalam tempoh yang ditetapkan disamping meningkatkan tahap pematuhan terhadap peraturan letak kereta yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut Zaliza, pelaksaksanaan itu dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Perintah 8, Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan Mengenai Tempat Letak Kereta ) Majlis Perbandaran Kuantan 2005.
“Sehubungan itu, MBK menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan berkaitan letak kereta bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil,” tambahnya lagi.
Difahamkan, kadar kompaun bagi kesalahan letak kereta dikenakan MBK sebelum ini adalah RM30 jika pembayaran dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh kompaun dikeluarkan, manakala jumlah itu meningkat 10 kali ganda jika pembayaran dibuat melebihi tempoh ditetapkan. – MalaysiaGazette
















