Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar

KUANTAN – Pas kekal konsisten menghulurkan tangan kepada rakan dalam Perikatan Nasional (PN) untuk terus bertaut dan UMNO untuk kembali bermusyawarah.

Itu kata Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar.

Ujarnya, keterbukaan itu dibuka kepada parti lain dan NGO untuk mengumpul seluruh kekuatan umat agar bernaung di bawah payung besar yang sama bagi konteks penyatuan ummah.

“Kerana akhirnya, parti hanyalah wasilah tetapi penyatuan ummah adalah matlamat.

“Penyatuan adalah nikmat. Perpecahan adalah petaka yang sedang menanti. Ancaman paling utama kepada kita adalah agama dan bangsa Melayu yang menjadi tonggak kedaulatan Negara.

“Hilang kedaulatan dan kemuliaan sebuah negara jika lemah pegangan agamanya dan kaum yang menegakkannya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pas juga telah lama melihat lebih jauh daripada itu yang mana PN bukan destinasi terakhir tetapi salah satu kenderaan menuju penyatuan yang lebih luas.

Dalam konteks ini, UMNO bukan pihak luar tetapi sebahagian daripada realiti umat dan sejarah politik negara.

Justeru, seruan ke arah kebersamaan tidak boleh terhenti pada sempadan gabungan sedia ada.

“Melayu Islam hakikatnya berada di bawah satu payung yang lebih besar iaitu payung penyatuan ummah yang melangkaui nama, logo dan kepentingan parti.

“Payung besar ini bukan dibina atas angka kerusi atau persaingan dominasi, tetapi atas amanah menjaga agama, kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Rosli.

ADUN Tangjung Lumpur itu berkata, ia menuntut kematangan untuk merendah diri, keberanian untuk berdialog dan kebijaksanaan untuk membezakan antara perbezaan strategi dengan perpecahan prinsip.

Pas berpegang bahawa muafakat itu akhlak dan akhlak menuntut untuk mencari titik temu, bukan memperbesarkan jurang.

Jelasnya, sejarah telah membuktikan ketika umat bersatu, negara stabil, ketika umat berpecah, ruang terbuka luas kepada pihak yang tidak mempedulikan kepentingan Islam dan Melayu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast