KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggambarkan seolah-olah parti itu bersedia untuk bergerak bersendirian dalam perjuangan politik.
Menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi, Afnan Hamimi meluahkan rasa yang menjurus kepada hilangnya semangat setiawakan terhadap Pas dalam politik.
“Hari ini, kawan itu sudah pergi berjalan sendiri. Merasakan diri sudah gagah hebat kuat. Kawan yang setia ini sudah ditinggalkan begitu sahaja.
“Tak mengapa kawan. Nak pergi, pergilah. Lepas ini, buatlah semuanya seorang diri.
“Pas tidak rugi. Pas akan terus berjalan menuju destinasi menggapai redha Ilahi. Terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup kami. Terima kasih kerana membuat dunia ini mengenali, siapa kawan sejati.
“Pergilah. Tak usah kembali lagi,” katanya.
Hantaran itu hadir ketika beberapa pemimpin kanan Pas lain turut meluahkan rasa kecewa selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis baharu semalam.
Abu Bakar yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis menggantikan Mohd Shukri Ramli yang meletakkan jawatan kerana masalah kesihatan, sekali gus mengakhiri polemik politik di negeri tersebut.
Sementara itu, Afnan Hamimi menegaskan Pas bersedia berkawan dengan sesiapa sahaja selagi tidak mengganggu-gugat prinsip dan dasar parti itu.
Malah, katanya, dalam berkawan, Pas sentiasa menunjukkan bukti kesetiaan dengan mematuhi arahan pimpinan selain sanggup mengetepikan perasaan sendiri, demi menjaga muafakat serta persahabatan.
Menurutnya, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), meskipun memenagi kerusi terbanyak, namun Pas tetap menamakan calon dalam kalangan rakan parti sebagai Perdana Menteri kerana kepentingan muafakat persahabatan, walaupun ada hasrat supaya pemimpin Pas dicalonkan.
“Ditakdirkan jadi pembangkang, Pas namakan Ketua Pembangkang dalam kalangan nama kawan. Walaupun Pas lebih besar jumlahnya, kawan itu kurang jumlahnya.
Tapi melihat kepada pengalaman dan kemampuan, Pas sanggup namakan kawan untuk pikul jawatan itu. Itu setiakawan,” katanya. – MalaysiaGazette
















