Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

KUALA LUMPUR – Suara para mufti, ahli jawatankuasa fatwa dan para ulama dalam pelbagai kepakaran mesti lebih tinggi daripada kedudukan parti-parti politik.

Ini kerana, kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO (MUU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, mereka ialah para penasihat Raja-Raja Melayu selaku pemerintah negeri dan negara.

Menurutnya, tokoh-tokoh ulama yang bebas daripada kepartian itu diperlukan untuk menjadi jurubicara ummah.

“Mereka boleh menegur parti sama ada kerajaan atau pembangkang bila berlaku keterlanjuran. Mereka tidak terikat dengan pendirian parti yang selalu akan mengikat ulama-ulama dalam parti untuk bersuara.

“Tidak ramai yang berani bersuara dengan berbeza daripada pendirian parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Khairuddin yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, ulama dalam parti juga perlu terus wujud bagi membimbing parti secara dalaman dan menjadi penasihat kepada ahli-ahli parti malah juga kepada ummah.

Terdahulu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza menjadi perhatian susulan kenyataan beliau yang menyentuh mengenai konflik politik di Perlis, termasuk berkenaan sumpah baiah yang dilafazkan pemimpin Pas.

Sementara itu, dalam isu berasingan, Mohd. Khairuddin menegaskan, kesatuan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam tidak wajar menjadi alat dan batu lonjakan untuk kepentingan kuasa menerusi parti masing-masing.

Menurutnya, kesatuan itu mestilah demi kepentingan ummah dan kepentingan Islam, bukannya berasaskan untung rugi kerusi pilihan raya.

“Apabila kesatuan hanya dilihat menerusi kaca mata parti masing-masing selama itulah perpecahan akan wujud atau kesatuan terburai di tengah jalan kerana bercanggah dengan kepentingan parti masing-masing,” katanya.

Ketika ini, gesaan supaya Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula sebagai wadah penyatuan orang Melayu kembali dibangkitkan susulan krisis politik dalam Perikatan Nasional (PN) dan Kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast