Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesyukuran kerana kerajaan perpaduan yang dipimpin beliau tidak menghadapi anasir tidak baik seperti sabotaj dan khianat.

Tambahnya, permuafakatan di antara komponen di bawah kerajaan MADANI lebih mantap dan ikhlas.

“Alhamdulillah…saya bersyukur, muafakat kerajaan perpaduan MADANI itu lebih mantap, lebih ikhlas dan tiada usaha sabotaj, tiada khianat seperti yang berlaku kepada rakan-rakan yang lain,” katanya semasa sidang media yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan media berhubung kepada masalah dalaman Perikatan Nasional (PN) terutamanya di antara Pas dan Bersatu sehingga mencetuskan krisis politik di Perlis sehingga jawatan Menteri Besar diganti dengan Abu Bakar Hamzah.

Hari ini, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan peletakan jawatan berkuatkuasa 1 Januari ini disusuli oleh empat Pengerusi PN Negeri daripada parti Bersatu.

Dalam sidang media sama, Anwar berkata, beliau baru pulang daripada menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Johor bagi menyembah maklum berhubung perkembangan semasa negara.

Katanya, antara perkara utama yang dipersembahkan adalah langkah-langkah tegas yang diambil kerajaan dalam membasmi rasuah yang menular di peringkat atasan, mutakhir ini.

“Saya menyampaikan maklumat terkini hasil siasatan sambil menekankan bahawatidak akan bertolak ansur serta tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan dari mana-mana pihak. Kita akan tegas menghadapi masalah ini sama ada daripada kawan atau lawan.

“Beberapa tindakan akan dan telah pun diambil termasuk dari pejabat saya, rakan-rakan dari parti komponen (kerajaan) perpaduan, pembangkang, pimpinan utama Angkatan Tentera Malaysia dan penjawat awam.

“Kita akan terus bertindak tegas menyelamatkan negara dan dapat menggunakan sewajarnya utk membela nasib rakyat jelata,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast