KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berpandangan adalah lebih baik Perikatan Nasional (PN) dibubarkan susulan peletakan jawatan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, kini merupakan masa terbaik untuk menamatkan gabungan politik PN itu yang disifatkan gagal dan tidak lagi relevan.
Malah, katanya, Pas juga tidak perlu memikirkan calon yang sesuai untuk mengambil alih kepimpinan PN, sebaliknya lebih baik mencari jajaran baharu.
“Tebuk atap dan tikam belakang seperti di Perlis adalah kemuncak kegagalan PN. Nama pun dah busuk. Sebab itu total loss di Sabah,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohd. Puad berkata, dengan melepaskan jawatan, Muhyiddin mengetahui beliau tidak akan mendapat kerjasama dan kepercayaan daripada Pas.
Malah, dakwanya, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan juga tahu Pas akan meninggalkan Bersatu.
“Tapi siapakah teman jajaran baru PAS?” soalnya. – MalaysiaGazette
















