Suspek direman manakala selama lima hari manakala permohonan reman terhadap isterinya ditolak.

BUKIT MERTAJAM – Seorang peniaga direman lima hari bagi membantu siasatan mendatangkan kecederaan terhadap seorang doktor di lorong Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Plaza Tol Lingkaran Luar Butterworth (LLB) di sini, pada Ahad lalu.

Majistret J. Savinder Singh membenarkan suspek lelaki berusia 31 tahun direman bermula hari ini hingga 3 Januari depan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Terdahulu, suspek yang berpakaian lokap berwarna ungu dibawa ke mahkamah bersama isterinya berusia 25 tahun untuk mendapatkan permohonan reman.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan reman terhadap isteri suspek.

MalaysiaGazette difahamkan, dalam kejadian jam 11.30 malam, pada 28 Disember lalu mangsa bersama isterinya menaiki kereta dalam perjalanan ke Penang Sentral melalui plaza tol LLB.

Tangkap layar menunjukkan mangsa dilanggar suspek dalam kejadian di Plaza Tol LLB, Pulau Pinang.

Bagaimanapun, palang tol tersebut tidak terbuka akibat masalah teknikal manakala sebuah kereta jenis Proton X50 yang dipandu suspek berada di belakang kenderaan mangsa.

Mangsa kemudian turun dari kereta untuk meminta suspek mengundurkan kenderaannya, namun permintaan itu tidak diendahkan malah suspek didakwa menengking lelaki itu.

Susulan itu, suspek dikatakan bertindak melanggar mangsa serta bahagian belakang kereta lelaki tersebut sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bukit Mertajam.

Terdahulu, satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dilanggar sebuah SUV jenis Proton X50 di sebuah plaza tol dipercayai di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth dekat Perai.

Video berdurasi 26 saat itu memaparkan kenderaan tersebut diundur sebelum mangsa dilanggar dari arah depan.

Kenderaan itu kemudiannya dilihat menukar laluan ke lorong tol di sebelah kanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast