APABILA Datuk Seri Mohamad Sabu melangkah masuk ke Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada akhir 2022, beliau sedar satu perkara: isu makanan bukan lagi soal sektor semata-mata. Ia soal keselamatan negara, kestabilan sosial dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan.
Negara baru keluar daripada pandemik. Rantaian bekalan global masih terganggu. Harga input pertanian melonjak, manakala rakyat mula merasai tekanan kos sara hidup di dapur masing-masing. Dalam situasi itu, beliau memperkenalkan satu frasa yang kini menjadi teras dasar kementerian iaitu “cukup dan terjamin”.
“Sejak saya memulakan tugas pada hujung 2022, keutamaan saya jelas, kita mesti memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, stabil dan mampu diakses oleh rakyat pada harga yang kompetitif. ‘Cukup dan terjamin’ ini bukan retorik politik, tetapi keperluan asas sebuah negara,” tegas Mohamad dalam wawancara baru-baru ini
Beliau tidak menafikan bahawa selama bertahun-tahun, sektor makanan negara diurus secara reaktif. Apabila harga naik, kerajaan panik. Apabila bekalan terganggu, pasaran global dipersalahkan. Kesan akhirnya dirasai oleh rakyat kecil.
“Negara kita sudah terlalu lama mengurus sektor makanan secara reaktif. Apa yang kita buat dalam tiga tahun ini ialah mengubah pendekatan daripada jangka pendek kepada pembetulan struktur, supaya sistem ini lebih tahan dalam jangka panjang,” katanya.
Pendekatan inilah yang menjadi benang merah kepada setiap dasar dan keputusan besar sepanjang tempoh beliau menerajui kementerian.
Pesawah dan Soal Maruah Makanan Negara
Antara sektor paling mencabar ialah padi dan beras yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia. Ketika beliau mengambil alih, tahap sara diri beras negara merosot sehingga sekitar 58 peratus. Lebih membimbangkan, pesawah berdepan kos pengeluaran yang meningkat, tetapi pendapatan mereka tidak seimbang dengan realiti semasa.
“Pendapatan pesawah tidak seimbang dengan kos pengeluaran, produktiviti stagnan, dan kebergantungan kepada beras import semakin tinggi. Jika kita tidak campur tangan, pesawah akan terus terhimpit dan akhirnya meninggalkan sawah. Itu bukan sahaja isu ekonomi, tetapi isu kedaulatan makanan negara,” katanya.
Keputusan menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,500 satu tan metrik menjadi langkah penting. Ia bukan sekadar angka, tetapi pengiktirafan terhadap nilai kerja pesawah.
Subsidi harga padi, insentif pembajakan dan penuaian turut dipertingkat, manakala Skim Takaful Tanaman Padi diperkenalkan bagi melindungi pesawah daripada risiko banjir, kemarau dan penyakit.
“Langkah-langkah ini nampak kecil di atas kertas, tetapi di lapangan ia sangat bermakna kerana kos operasi memang meningkat. Ini soal kelangsungan hidup pesawah, bukan kemewahan,” jelas beliau.
Apabila Krisis Global Menguji Kepimpinan

Ujian sebenar datang apabila India, antara pengeksport beras terbesar dunia, menyekat eksportnya. Harga global melonjak, pasaran bergoncang dan keresahan rakyat meningkat.
Bagi Mohamad, kerajaan tidak boleh sekadar menunggu keadaan pulih.
“Bila negara pengeluar utama dunia mengehadkan eksport, harga global pasti terkesan. Dalam keadaan itu, kerajaan tidak boleh berdiam diri,” katanya.
Subsidi bersasar untuk beras import dilaksanakan khususnya di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi mengurangkan beban rakyat di wilayah tersebut. Dalam masa yang sama, rundingan import digerakkan untuk menstabilkan bekalan domestik.
“Prinsip kita ialah melindungi rakyat tanpa merosakkan pasaran,” tegasnya.
Beras Putih Tempatan dan Realiti Tidak Popular
Isu Beras Putih Tempatan (BPT) pula mendedahkan kerumitan sebenar struktur pasaran beras negara. Kenaikan harga padi tempatan meningkatkan kos pemprosesan, tetapi mengekalkan harga kawalan tanpa sokongan hanya akan mengurangkan bekalan.
“Isu BPT tidak boleh dilihat secara simplistik. Jika kita kekalkan harga kawalan tanpa sokongan, pengilang akan tertekan dan bekalan akan berkurang,” jelas beliau.
Kerajaan memilih jalan tengah iaitu subsidi khas BPT secara terhad dan bersasar, pengagihan jutaan kampit beras serta sistem penandaan kampit bagi menjejak aliran pasaran dan mengelakkan ketirisan. Pendekatan ini mungkin tidak menggembirakan semua pihak, tetapi ia berasaskan realiti, bukan retorik.
Ayam dan Telur: Reformasi Subsidi yang Berani

Keputusan menamatkan subsidi ayam dan mengurangkan subsidi telur secara berperingkat menjadi antara langkah paling berisiko secara politik. Subsidi berbilion ringgit setahun terbukti tidak mampan, namun kebimbangan rakyat tidak boleh dipandang ringan.
“Subsidi ayam dan telur menelan belanja berbilion ringgit setahun. Persoalannya, adakah ia sampai kepada sasaran, dan adakah ia baik untuk industri dalam jangka panjang?” katanya.
Dengan pemantauan rapi dan libat urus industri, subsidi ayam ditamatkan apabila bekalan stabil. Ramalan lonjakan harga besar tidak berlaku, sekali gus membuktikan reformasi subsidi boleh dilaksanakan jika disusun dengan teliti dan berperingkat.
Jualan Agro MADANI: Sentuhan Terus kepada Rakyat
Dalam menangani tekanan kos sara hidup, Jualan Agro MADANI muncul sebagai antara inisiatif paling dirasai rakyat. Konsepnya mudah dengan memendekkan rantaian bekalan dan membawa hasil terus dari ladang ke pengguna.
“Kita potong rantaian bekalan, bawa hasil terus dari ladang kepada pengguna. Rakyat dapat harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah, pengeluar pula tidak terlalu bergantung kepada orang tengah,” katanya.
Sehingga 2025, lebih 13,000 siri Jualan Agro MADANI dianjurkan di seluruh negara, mencerminkan keperluan rakyat kepada intervensi yang praktikal dan segera.
Tatakelola: Asas yang Jarang Dipuji

Di sebalik semua dasar dan program, Mohamad sering menekankan satu perkara yang jarang menjadi tajuk utama adalah tatakelola.
“Tanpa tatakelola yang baik, semua dasar akan gagal,” tegas beliau.
Penstrukturan semula peranan agensi, pemisahan kuasa pentadbiran sektor padi dan beras serta penubuhan MAREA dilakukan bagi memastikan pengawasan lebih telus dan ketirisan dapat dibendung.
Dalam masa yang sama, tumpuan kepada belia melalui Geran Agropreneur Muda mencerminkan pandangan jauh ke hadapan. Hampir 10,000 agropreneur muda menerima sokongan sehingga 2024, dengan matlamat menjadikan pertanian sebagai kerjaya moden, berteknologi dan berdaya saing.
Amanah yang Terus Dipikul
Selepas lebih tiga tahun, Mohamad mengakui tidak semua masalah selesai. Namun, asas sedang dibina iaitu asas sistem, asas kepercayaan dan asas jaminan.
“Saya tidak mendakwa semua masalah telah selesai. Tetapi asasnya sedang kita bina. Keutamaan saya kekal sama rakyat mesti yakin bahawa dalam apa jua keadaan, makanan negara ini akan sentiasa mencukupi dan terjamin,” katanya.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, keterjaminan makanan bukan lagi isu pinggiran. Ia isu keselamatan negara. Dan di atas bahu seorang menteri, amanah itu terus dipikul , berat Tetapi tidak pernah ditinggalkan. – MalaysiaGazette

















tahun 2026 dah bermula bila pula SARA dan STR akan mula dikreditkan