KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan sudah memuktamadkan keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang akan dibuat pada bila-bila masa.
Memetik sumber dalaman, perkara itu dimaklumkan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di dalam kumpulan WhatApps Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu kira-kira pukul 10.30 malam tadi.
Terdahulu, katanya, Muhyiddin turut memaklumkan hasrat peletakan jawatan itu di dalam kumpulan WhatApps ahli-ahli Parlimen.
Bagaimanapun, dakwanya, hasrat Muhyiddin itu dibantah sejumlah ahli-ahli MPT Bersatu yang meminta beliau menariknya semula.
“Beberapa ahli MPT Bersatu turut berpandangan bahawa jalan peyelesaian terbaik kepada kemelut politik yang sedang melanda ketika ini adalah dengan Muhyiddin kekal sebagai Pengerusi PN selaku pengasas Bersatu dan PN,” katanya.
Sementara itu, tambah sumber dakwaan, memandangkan Pas berulang kali menyatakan hasrat untuk meninggalkan PN dan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, beberapa ahli MPT Bersatu berpandangan adalah lebih baik parti itu meneruskan hasrat tersebut.
Dengan keputusan Pas itu, katanya, ahli MPT Bersatu berpandangan Muhyiddin dan PN terus kekal bersama Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) dan meneruskan usaha yang sedang dilaksanakan.
“Mereka berpandangan mungkin dengan ketiadaan Pas, parti seperti MCA, MIC dan sejumlah parti lain akan berasa lebih selesa menyertai PN,” katanya.
Bagaimanapun, tambah sumber berkenaan, melepasi tengah malam tadi, Muhyiddin memaklumkan beliau telah memuktamadkan keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN dan berharap Ahli-ahli MPT dapat menerima keputusan beliau.
“Walaupun menghormati pendirian Muhyiddin, tetapi ahli-ahli MPT masih berpendapat beliau wajar kekal dan terus menjadi Pengerusi PN dan mempertimbangkan semula hasrat untuk meletakkan jawatan itu,” katanya.
Hayat politik PN ketika ini diibaratkan berada di hujung tanduk selepas beberapa pemimpin Pas secara terbuka menyatakan hasrat meninggalkan gabungan politik itu susulan kemelut politik yang berlaku di Perlis. – MalaysiaGazette
















